JOHOR BAHRU: Kira-kira 40 ahli Parlimen Umno dikatakan berkemungkinan meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM.
Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk A Kadir Jasin berkata, mereka dikatakan berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali menemui Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyididn Yassin serta kepimpinan tertinggi parti itu, sama ada berseorangan atau berkumpulan.
“Buat masa ini, belum ada sesiapa yang hampir sampai peringkat (Ahli Parlimen Jeli) Datuk Mustapa (Mohamed menyertai PPBM), walaupun mereka telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan pemimpin tertinggi PPBM.
“Mereka menggambarkan terbuka memikirkan keluar Umno dan masuk PPBM, tetapi masalahnya mereka terpaksa memikirkan apa yang akan berlaku selepas itu kerana ada di antara mereka mempunyai isu atau terdedah kepada siasatan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan PPBM Bahagian Tebrau, hari ini.
Kadir berkata, isu siapa yang akan mewarisi harta Umno turut difikirkan ahli Parlimen berkenaan, memandangkan Umno belum diisytiharkan parti muflis.
Ditanya adakah tujuan mereka menyertai PPBM demi menyelamatkan diri, Kadir berkata, tiada jaminan mereka tidak disiasat setelah menyertai PPBM.
“Hal itu (selamatkan diri) payah hendak cakap…tetapi mana mungkin PPBM atau kerajaan melindungi (mereka).
“Kalau ada bukti kesalahan…saya rasa mungkin terlintas di fikiran, tetapi tidak boleh dikatakan itu syaratnya…tiada jaminan.”
Hari ini, Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri mendedahkan beberapa ahli Parlimen Umno berjumpa dengannya, namun tidak keputusan dibuat.
Ditanya berapa ramai pemimpin Umno berjumpa dengannya, Muhyiddin hanya menghitung jari-jarinya tanpa mengulas lanjut.