Rafizi menang besar di Perak, dahului Azmin secara keseluruhan
Penyandang Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang merebut jawatan timbalan presiden menang besar dalam pemilihan PKR di Perak yang berlangsung hari ini.
Rafizi mendapat majoriti 2,495 undi, jumlah terbesar yang diperolehi oleh mana-mana calon di negeri yang dipertandingkan sehingga kini.
Dengan berbaki dua negeri, Sabah dan Sarawak, Rafizi yang ketinggalan 900 undi di belakang Azmin setakat semalam kembali berpeluang menewaskan pensaingnya jika beliau menang tipis di salah satu kubu Azmin itu.
“Terima kasih kepada pengundi-pengundi di Perak yang memberi 6,700 (61%) undi kepada saya, berbanding 4,359 (39%) kepada saudara Azmin.
“Saya juga menang di 19 dari 24 cabang di Perak, satu keputusan yang paling besar di mana-mana negeri setakat ini.
“Saya berterima kasih kepada pengundi-pengundi di Kedah yang menyaksikan saya mendapat 3,210 undi berbanding saudara Azmin 3,653 undi,” kata Rafizi dalam satu kenyataan media.
Dengan 158 cabang dan 12 negeri telah mengundi di Semenanjung serta Wilayah Persekutuan (kecuali 6 cabang di Selangor yang akan mengundi esok), Rafizi yakin telah mendahului Azmin sebanyak 995 undi.
Kedudukan terkini Rafizi mendapat sebanyak 47,542 undi atau 50.5% dan menang di 86 Cabang (54.4%). Manakala Azmin mendapat 46,547 undi atau 49.5% dan menang di 72 cabang atau 45.6%.
“Ini adalah satu keputusan yang sangat baik mengambil kira saya tiada sebarang kedudukan dalam kerajaan dan berkempen dalam serba kekurangan.
“Keputusan dari negeri-negeri (terutamanya Perak) memberi gambaran jelas ada tuntutan dari akar umbi yang perlu diberi perhatian oleh pimpinan Pusat.
“Saya berharap prestasi ini dapat diteruskan di 6 cabang terakhir di Selangor esok, dan disambung pula di Sabah dan Sarawak,” tambah Rafizi.
Beliau berharap sukarelawan dan jentera kempen #Reformasi20Tahun akan terus segar dan bersemangat untuk membuat pecutan terakhir.