Hala tuju Umno kelabu asap
Hala tuju Umno masih belum nampak jelas walaupun presidennya Ahmad Zahid Hamidi sudah menjelajah hampir ke seluruh negara, kecuali Kelantan dan Sabah, bagi menjelaskan kedudukan parti selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14, kata beberapa sumber akar umbi parti.
Zahid juga sudah menubuhkan banyak jawatankuasa untuk memulihkan Umno namun dikatakan tidak memberikan arah pandu jelas, kata mereka, menyebabkan mereka merasakan parti itu sekarang bergerak tanpa jurumudi.
“Susah hendak kerja dengan ketua yang tidak ada hala tuju ini. Zahid sendiri nampaknya sudah give up. Mungkin Zahid sendiri akhirnya akan letak jawatan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Menurut sumber, Zahid juga sedar kepimpinannya dipersoalkan oleh ahli dan pimpinan parti.
“Zahid tahu orang tidak setuju dengan dia, tidak sokong dia lagi. Sudah tidak ramai yang hendak ikut dia dalam program parti.
“Desakan minta Zahid berundur kerana ada 45 pertuduhan di mahkamah hanya sebab saja untuk Zahid lepaskan jawatan presiden,” kata sumber Umno itu.
Zahid berdepan 45 tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi milik keluarganya dan beberapa keputusannya semasa jadi menteri dalam negeri dalam kerajaan sebelum ini.
Selepas lima bulan terpilih presiden, Zahid dilihat masih tidak dapat mengawal parti yang diwarisinya daripada Najib Razak.
Enam ahli Parlimen dan beberapa wakil rakyat negeri dari Umno sudah meninggalkan parti, sesetengahnya menyertai Bersatu. BN kini mempunyai 51 kerusi di Dewan Rakyat – 48 Umno, 2 MCA dan 1 MIC.
Minggu lalu, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berdepan satu lagi tamparan. Rakan politiknya sejak awal Merdeka, MCA mencadangkan BN bubar untuk membentuk satu pakatan politik baharu.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin Umno jelas menunjukkan mereka tidak sebulu dengan Zahid.
Ketika Zahid beria-ia menggesa ahli Umno menyertai perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu ini, Setiausaha Agung BN Nazri Aziz mengumumkan beliau tidak akan ikut serta.
Menurut Nazri, tiada apa-apa keperluan untuk beliau ikut berhimpun kerana kerajaan sudah mengesahkan tidak akan meratifikasi konvensyen itu. Katanya, beliau percaya dengan keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan itu.
Seorang sumber yang juga ahli Parlimen Umno mengaku kepada The Malaysian Insight beliau sudah penat menunggu hala tuju parti daripada Zahid, antaranya melibatkan soal Kabinet bayangan.
Sumber berkata ada ahli Parlimen cuba bertemu Setiausaha Agung Umno Annuar Musa tetapi malangnya rungutan dan aduan mereka tidak diambil peduli.
“Tubuh jawatankuasa macam-macam… lepas itu, (Zahid) lepas begitu saja tiada panduan. Ada ahli Parlimen jumpa Annuar tetapi tidak berkenan dengan gaya dia yang ‘buat kepala’ sendiri.
“Dengan presiden tidak boleh cakap, dengan secgen (setiausaha) pun tidak boleh cakap, tidak mahu dengar keluhan… budaya warlord tu masih menebal. Hendak naik ke tingkat 14 (pejabat ketua pembangkang) pun sudah malas sekarang,” katanya.
Tambah sumber lagi, Zahid sebagai ketua pembangkang tidak banyak mengulas isu-isu berkaitan dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, berbanding bekas presiden Umno Najib.
“Siapa ketua pembangkang?” soalnya, kecewa dengan sikap ambil lewa Zahid.
Ahli Parlimen itu merasakan Najib lebih agresif memberi pandangan dan idea yang membantu mengukuhkan Umno, menyejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi Malaysia.
Sementara itu, seorang pimpinan Umno bahagian berkata perbincangan sepanjang program Jelajah Presiden hanya melibatkan kelompok yang rapat dengan Zahid. Ini menyebabkan ahli Parlimen dan pimpinan bahagian di negeri-negeri kecil hati – tidak tahu hendak buat apa.
“Ketua bahagian macam saya ini tidak dilibatkan. Jadi kita pun tidak tahu hendak buat apa selain daripada jemput ahli untuk hadir.
“Sebenarnya masih banyak tanda tanya, perkara yang tidak jelas dalam Umno ini,” katanya yang enggan dikenali.