DAP tidak cemburu MCA urus institusi pendidikan
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 berkata sekiranya UTAR (University Tunku Abdul Rahman) dan TAR UC (Tunku Abdul Rahman University College) mahukan peruntukan yang lebih banyak dari sumber kerajaan, maka kedua-dua entiti itu perlu keluar daripada kongkongan pentadbiran MCA.
Kenyataan itu dibidas Presiden MCA, Wee Ka Siong yang menuduh Lim ‘cemburu’ atas pencapaian MCA dalam menguruskan kedua-dua institusi pengajian tinggi (IPT) itu.
Mengulas isu berkenaan, Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim berkata Setiausaha Agung DAP berkenaan tidak mungkin cemburu dengan prestasi MCA dalam pendidikan tetapi tidak mahu pelajar IPT terpengaruh dengan politik kepartian dalam hal pendidikan.
“Sebenarnya hasrat dan pendirian Lim ialah institut pengajian tinggi mesti diuruskan oleh pihak swasta yang berkecuali supaya pelajar-pelajar di institut-institut tersebut tidak jatuh di bawah pengaruh sebarang parti politik.
“Lim tidak mahu mana-mana parti politik, tidak kira BN ataupun PH mengurus-tadbir universiti,” kata Ng kepada Suara Pakatan Daily
Beliau turut menyelar Presiden MCA itu yang sering berburuk sangka terhadap pemimpin PH selepas MCA hilang halatuju berikutan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Justeru, MCA sekarang menganggap Lim sebagai musuh nombor satu MCA dan mereka akan cuba sedaya-upaya menjatuhkan imej Lim di kalangan pengundi Cina selain dari memberi gambaran kepada orang Cina bahawa Lim telah gagal dalam tugasnya sebagai Menteri Kewangan .
“Lim juga telah digambarkan sebagai seorang yang gagal membantu masyarakat Cina dalam isu pendidikan. Maklumlah ibu-bapa Cina amat mementingkan pendidikan,” sambung Ng lagi.
Beliau juga berpandangan bahawa kini parti-parti pembangkang seperi Umno, Pas dan MCA akan menggunakan habis-habisan isu perkauman untuk meraih sokongan bagi mengelakkan kehancuran dalam PRU 15.