Kementerian Pendidikan dapat peruntukan tertinggi RM60 b
Kementerian Pendidikan menerima peruntukan paling besar, berjumlah RM60.2 bilion dalam belanjawan 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Dari jumlah ini, sejumlah RM2.9 bilion bagi membantu golongan miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai, katanya dalam pembentangan Belanjawan 2019 hari ini.
Selain itu, kerajaan akan menaikkan taraf dan menyelenggara semua sekolah dengan peruntukan RM652 juta, katanya, termasuk RM 100 juta untuk pembinaan semula sekolah daif.
Berikut adalah peruntukan bagi jenis sekolah:
Sekolah Kebangsaan – RM250 juta;
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) – RM50 juta;
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) – RM50 juta;
Sekolah Berasrama Penuh – RM50 juta;
Maktab Rendah Sains Mara – RM50 juta;
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan – RM50 juta;
Sekolah Mubaligh – RM50 juta;
Sekolah Tahfiz – RM50 juta;
Sekolah Pondok yang berdaftar – RM25 juta;
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau Conforming School – RM15 juta; dan
Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) – RM12 juta.
Bagi program TVET, sejumlah RM206 juta diperuntukkan untuk membangun dan menyediakan program latihan di politeknik dan kolej komuniti.
Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi Dana Wibawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menggalakkan institusi latihan bersaing untuk menawarkan program latihan yang lebih kompetitif dan memenuhi keperluan industri.
Di samping itu, peruntukan RM20 juta disediakan bagi meningkatkan kompetensi belia melalui Program Bootcamp berkaitan TVET.
Aktiviti penyelidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pula diberi suntikan RM400 juta.
Kerajaan juga akan meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman pelajaran dengan peruntukan RM3.8 bilion di mana RM2 bilion diperuntukan khusus kepada pelajar Bumiputera tajaan Mara.
RM210 juta lagi diperuntukkan sebagai sebahagian daripada agenda pemerkasaan Bumiputera bagi memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan dikendalikan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, kata Lim lagi.