Hishamuddin, berakhirnya dinasti Umno
Salah satu dinasti politik Malaysia tertua di Malaysia mungkin berakhir hari ini apabila Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein dijangka mengumumkan keputusan tidak bertanding dalam pemilihan parti hujung bulan ini.
Sumber berkata, Hishammuddin keberatan untuk terus memegang jawatan kanan dalam parti ayah dan datuknya itu selepas prestasi buruk parti dalam PRU14.
Bekas menteri pertahanan itu dijangka mengumumkan keputusan itu selepas pertemuan dengan akar umbi di Johor hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, beliau memberitahu beberapa pemimpin hasratnya untuk hanya jadi ahli Parlimen. Pada PRU14, Hishammuddin, 57, mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong yang disandang sejak 2004 mengalahkan calon PKR, Onn Abu Bakar dengan kelebihan 6,662 undi.
Sekiranya beliau mengikut kata hatinya dan mengesahkan keputusan tidak bertanding jawatan timbalan presiden, ini akan jadi kali pertama dalam masa beberapa dekad, Umno tidak dipimpin oleh salah satu keluarga bangsawannya.
Pada masa lalu, sekurang-kurangnya seorang dalam barisan kepimpinannya datang dari keluarga Razak atau Hussein.
Hishammuddin ialah anak bekas presiden Umno dan perdana menteri Hussein Onn, yang juga anak kepada presiden pertama dan pengasas Umno, Onn Jaafar.
Hishammuddin menjalankan tugas timbalan presiden selepas Ahmad Zahid Hamidi memangku tugas presiden apabila Najib Razak letak jawatan sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan Umno dalam PRU14.
Parti itu hanya menang 54 kerusi parlimen berbanding 88 kerusi dalam PRU13. Barisan Nasional yang diterajui parti itu gagal meraih cukup kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan.
Kekalahan bersejarah itu memberi satu tamparan kepada parti berumur 72 tahun itu dan memaksanya bermuhasabah. Ia juga mencetuskan perbahasan dalam kalangan ahli-ahlinya yang bertanya apakah barisan pimpinan sedia ada mempunyai karisma dan idea untuk memulihkan parti.
Ini menjadikan pemilihan parti hujung bulan ini dijangka sengit apabila ahli-ahlinya, daripada bekas menteri sampailah kepada ahli biasa, mencuba nasib menawarkan diri membetulkan Umno.
Beberapa pemimpin secara terbuka menyatakan sokongan menyokong gandingan Zahid-Hishammuddin untuk dua jawatan tertinggi, manakala beberapa pemimpin juga sudah mengemukakan pencalonan.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan sudah mengemukakan pencalonan bertanding kerusi timbalan presiden, sementara ada juga usaha memujuk dua pemimpin dari Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan Mustapa Mohamed bertanding dua jawatan tertinggi.