Dr Idris dapat sokongan PH jadi MB Selangor
Naman beliau kurang dikenali, namun beliau adalah calon 2 penggal di Ijok. Tanpa digembar-gemburkan, nama Dr Idris Ahmad dikatakan menjadi calon tunggal dicadangkan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menggantikan Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok untuk dua penggal berkenaan didakwa mendapat sokongan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor.
Bagi PKR pula, surat sokongan dikeluarkan ibu pejabat parti berkenaan dan sudah dihantar ke istana untuk pertimbangan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tidak cukup dengan itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut memberi sokongan atas kapasiti beliau sebagai Presiden HARAPAN.
Sumber memberitahu Malaysiakini nama Dr Idris menjadi pilihan kerana HARAPAN Selangor berpendapat beliau adalah calon terbaik mengisi kekosongan yang ditinggalkan Azmin apabila ADUN Bukit Antarabangsa berkenaan dilantik menjadi menteri pusat.
“Rekod beliau selama dua penggal menjadi wakil rakyat serta pengalamannya dalam sektor korporat sebelum ini adalah kriteria yang diperlukan rakyat Selangor,” katanya.
Sumber yang dekat dengan HARAPAN itu juga mengakui satu pihak dalam PKR pula mengemukakan beberapa nama lain untuk pertimbangan Sultan Selangor.
Antara nama yang disebut-sebut menjadi pilihan kumpulan itu ialah ADUN Sungai Tua yang juga exco negeri, Amirudin Shari, serta tokoh akademik yang juga ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin.
Menurut sumber yang enggan didedahkan identitinya itu nama Dr Idris, 70, berada pada kedudukan teratas di kalangan pimpinan HARAPAN Selangor serta Ibu Pejabat PKR.
“Apa yang berlaku sekarang ialah nama Dr Idris tidak ditonjolkan, sebaliknya nama ADUN lain yang digambarkan sebagai bakal menteri besar bagi mencipta persepsi tertentu,” katanya.
Untuk rekod Dr Idris ialah doktor pakar obstetrik dan ginekologi di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.
Mula terlibat secara aktif dalam gerakan reformasi sejak 1998, beliau tidak menyertai pilihan raya umum (PRU) sehinggalah pada 2013.
Walaupun ketika ini Dr Idris ialah Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan beliau sebenarnya anak jati Selangor.
Sumber memberitahu di peringkat akar umbi sokongan terhadap Dr Idris menjadi menteri besar Selangor memang tinggi namun kurang menyerlah disebabkan kecenderungan ketua-ketua cabang tertentu.
“Kami percaya jika Selangor mahukan seorang menteri besar yang cekap, telus dan bersih, orangnya ialah Dr Idris.
“Tugas beliau juga akan disokong penuh oleh parti komponen HARAPAN di Selangor,” katanya.
Pengumuman mengenai nama menteri besar baru untuk Selangor dijangka akan dibuat selepas Aidilfitri yang disambut pada minggu depan.