Pas cari alasan hindari kerjasama – Bersatu
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa PAS sengaja mencari alasan untuk tidak menyertai gabungan pembangkang melawan Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan Datuk Kamarudin Md Nor berkata PAS sebenarnya sudah mengetahui lebih awal tentang hasrat PPBM membawa mereka menyertai gabungan untuk pilihan raya umum akan datang.
“PAS pun sudah tahu,,,jadi tidak menjadi suatu yang baru,” katanya kepada FMT. “Ini sengaja nak jadikan alasan saja. Di PPBM kita tidak ada masalah.”
Beliau menjawab kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini, yang berkata rundingan kerjasama politik antara kedua-dua parti berakhir apabila Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad umum menyertai PH.
Menurut Hadi, keputusan diambil kerana PAS tidak mahu bekerjasama dengan parti yang ada kaitan dengan DAP dan Amanah.
“PAS pilih tak kerjasama itu nasib dia,” kata Kamarudin. “Sambutan terhadap PPBM dan parti pembangkang yang bersama PH juga luar biasa.” Ini semua petanda rakyaat sedia ubah kerajaan.”
PH merupakan gabungan tak rasmi antara parti politik pembangkang, mengulangi formula Pakatan Rakyat yang terbubar akibat pergadungan antara DAP dan PAS.
Ditubuhkan pada 22 September 2015, PH terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.
Sementara PAS kini membentuk pakatan Gagasan Sejahtera bersama-sama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). FMT