Gabungan Bersatu – PH paling mantap hadapi PRU 14, kata akar umbi
Gabungan antara Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) merupakan sinergi terbaik menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Demikian menurut seorang ahli akar umbi Bersatu, Yusof Abdullah dari Kuala Lumpur, mengulas permohonan dari partinya untuk menganggotai PH secara rasmi sebagaimana diumumkan oleh Tun Mahathir baru-baru ini.
Menurut pekerja firma guaman itu, ahli-ahli akar umbi Bersatu ketika ini sedang giat mendaftar ahli baru dan menubuhkan cawangan seberapa banyak yang mungkin kerana dijangkakan PRU akan berlangsung pada hujung tahun 2017.
“Ramai penyokong dan ahli Bersatu yakin sudah tiba masanya gabungan PH diperkuatkan sebab ada kemungkinan PRU14 diadakan dalam masa 2 bulan lagi atau hujung tahun ini.
“BN kali ini akan memberi tumpuan penuh kepada pengundi Melayu dan oleh yang demikian, bulan Mei mungkin sesuai untuk PRU14 diadakan (sebelum puasa).
“Justeru itu, Bersatu mengorak langkah untuk memberikan lebih publisiti kepada parti kami walaupun pembahagian kerusi di antara rakan gabungan belum dibincangkan.
“Juga yang penting sekarang ialah untuk memperbanyakkan forum bertemu rakyat supaya ramai orang sedar tentang kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh BN dalam pentadbiran dan pengurusan negara ini,” kata Yusof kepada Suara pakatan daily.
Selain itu, beliau juga berharap satu logo dan satu manifesto akan digunakan dalam PRU 14. Katanya, rakyat akan nampak bahawa gabungan pembangkang merupakan pakatan yang kukuh sekiranya mempunyai pendirian serta falsafah politik yang seragam di antara semua rakan politik.
“PH mampu memberi BN satu cabaran yang sengit pada PRU14 walaupun mereka buat ‘PRU kilat’ Mei ini dan kita belum benar-benar bersedia.
“Oleh itu, kami sedang membaca kenyataan-kenyataan pemimpin BN dengan teliti dan akan menjangkakan bilakah PRU14 akan diadakan supaya kita tidak akan diserang hendap dengan tiba-tiba,” ujar Yusof lagi.