PRU 14: Usah tunggu 2018, ekonomi makin buruk, pengangguran tinggi
Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran mencabar PM Najib Razak segera membubarkan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2018 sekiranya BN benar-benar demokratik.
Katanya, penangguhan pilihan raya umum (PRU) ke 14 tidak wajar dilakukan apabila keadaan hidup rakyat begitu buruk dan kuasa perlu dikembalikan kepada mereka untuk melantik kerajaan.
Manogaran juga memberi amaran strategi Najib menunda tarikh pilihan raya sehingga habis tempoh penggal pentadbirannya pada bulan Mei 2018 tidak akan membuahkan hasil yang baik kerana keadaan ekonomi akan semakin buruk ketika itu manakala harga minyak akan melambung lebih tinggi.
“Adakah PM Najib sedang menunggu untuk harga minyak mencecah RM3 seliter sebelum mengadakan pilihan raya? Saya ingin beritahu beliau bahawa ekonomi negara tidak akan bertambah baik dan oleh itu, tidak usah menunggu tahun depan untuk membubarkan Parlimen.
“Masih sempat untuk PRU14 pada tahun ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Manogaran berkata, penundaan tarikh pilihan raya akan menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan dan mengurangkan kemasukan modal ke dalam negara pada 2018.
Hal itu, katanya, sekaligus akan mengurangkan peluang pekerjaan dan menambah parah pengangguran dalam kalangan anak muda yang telah pun melebihi 10%.
“Amalan menunda tarikh pilihan raya umum adalah satu amalan yang tidak sihat sebab ia menimbulkan banyak ketidaktentuan dalam iklim pelaburan dan ini akan meyebabkan nilai matawang kita mengalami kemerosotan.
“Justeru itu, diharap Najib akan bergegas untuk membubarkan Parlimen selewat-lewatnya pada awal bulan November akan datang,” katanya lagi.