Himpunan anti-kleptokrasi: 75% Melayu, amaran awal tsunami
Penyertaan kira-kira 75% Melayu dalam perhimpunan Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrat malam ini membayangkan kejayaan Bersatu (PPBM) dan AMANAH menarik sokongan.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali dalam ulasannya berkata, peserta Melayu yang ramai dan majoriti (75%) dan ini memberi mesej kurang baik kepada BN dan PAS.
“Kehadiran ramai peserta Melayu menggambarkan Bersatu kini suatu ancaman kepada BN,” katanya.
“Segmen pengundi Melayu adalah merupakan pengundi kritikal bagi pembangkang sejak dua PRU mutakhir,” kata beliau dalam ulasan itu.
Beliau percaya Bersatu dan AMANAH menjadi menyumbang dan faktor kepada kehadiran ramai peserta Melayu.
“Ini jelas sekiranya PPBM dapat mengalihkan sekurang-kurangnya 15% undi teras Umno dalam PRU 12 kepada PH, maka BN bermasalah besar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kehadiran yang dijangka 100,000 tidak mencapai sasaran.
“Faktor permulaan cuti sekolah mungkin mempengaruhi kehadiran,” katanya.
Katanya, pengundi Cina walaupun kurang dalam perhimpunan ini, tetapi dipercayai masyarakat Cina sudah membuat pilihan siapakah yang mereka akan undi dalam PRU 14 nanti. – MD