Pertemuan Trump – Najib dipandang sepi masyarakat luar bandar
Seorang bekas pakar ekonomi Bank Dunia berkata lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) akan menyulitkan usaha Barisan Nasional (BN) memperoleh sokongan di kalangan penduduk luar bandar pada pilihan raya umum akan datang
Lim Teck Ghee berkata kesan negatif itu akan berlaku sekiranya respons negatif lawatan itu tersebar luas hingga ke akar umbi.
Lim berkata rakyat di kawasan pedalaman juga sedar imej perdana menteri dalam kontroversi 1MDB kini dicemari dan menjadi bahan perbincangan media antarabangsa.
Ini, katanya, ditambah dengan imej anti-Islam Presiden Donald Trump.
“Trump tidak berapa diminati Melayu Islam kerana pendiriannya yang bersifat perkauman dan anti Islam,” kata Lee yang mengetuai badan pemikir Pusat Inisiatif Dasar, kepada FMT.
Lee berkata reaksi negatif media di AS terhadap lawatan Najib akan terus menyulitkan usaha Najib memulihkan imejnya di sebalik tindakan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) menyiasat dakwaan kecurian wang berbilion dolar daripada 1MDB.
“Ini akan menutup peluang untuk perdana menteri memperbetul reputasinya jika berlaku kontroversi atau krisis lain,” katanya.
Lim menyifatkan pertemuan Najib-Trump yang digambarkan sebagai menyambut ulang tahun 60 tahun hubungan 2 negara itu hanya satu bentuk “PR”, atau perhubungan awam.
Beliau berkata lawatan Najib itu tidak menguntungkan Malaysia selain daripada penegasan semula AS sebagai rakan strategik.
Menurut Lee, pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akhirnya akan fokus kepada isu tempatan dan sosio ekonomi negara, dan bukan mengenai hubungan rapat Malaysia-AS.