Benarkah Najib angkat isu Rohingya dalam pertemuan 10 minit?
Naib presiden PKR Rafizi Ramli mempertikaikan sejauh mana isu penindasan umat Islam Rohingya dibangkitkan perdana menteri dalam pertemuan empat mata selama 10 minit dengan presiden Donald Trump sedangkan banyak lagi isu-isu lain dibincangkan dalam pertemuan singkat itu.
Menurut Rafizi, walaupun sebelum ini beliau yakin isu Rohingya tidak disentuh dalam pertemuan dua pemimpin itu, namun kenyataan media bersama dikeluarkan White House menyenaraikan isu Rohingya antara sembilan isu yang dibincangkan dalam pertemuan itu.
Jelas Rafizi, sebahagian besar perkara yang disentuh di dalam kenyataan media bersama itu tidak disentuh di dalam mesyuarat bilateral yang videonya dirakamkan dan transkripnya telah disiarkan kelmarin.
“Ini bermakna jika ia dibincangkan di antara Datuk Seri Najib dan Presiden Trump, besar kemungkinan ia dibincangkan di dalam pertemuan empat mata di antara mereka yang saya telah nyatakan sebelum ini besar kemungkinan hanya memakan masa 10 minit sahaja.
“Oleh itu berdasarkan maklumat-maklumat ini, saya boleh simpulkan bahawa kesemua perkarayang paling penting yang telah disentuh secara terbuka di dalam video mesyuarat bilateral (iaitu isu Korea Utara, isu melawan Daesh dan keganasan serta tawaran pelaburan-pelaburan dari Malaysia untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat) serta perkara-perkara yang hanya disentuh di dalam pertemuan empat mata dibincangkan di dalam tempoh 10 minit itu,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan isu yang disentuh kedua pemimpin itu mengikut keutamaan iaitu:
i. Tindakan China meluaskan pengaruhnya di Laut Cina Selatan yang ditentang oleh Amerika Syarikat
ii. Kerjasama ASEAN dan kedudukan ASEAN sebagai sekutu Amerika Syarikat
iii. Bantuan dari Malaysia berjumlah RM4 juta untuk diagihkan di kawasan-kawasan yang dirampas dari Daesh bagi tujuan kemanusiaan
iv. Permohonan Malaysia agar diberi keistimewaan untuk pengecualian visa
v. Persetujuan Malaysia untuk berkongsi data dan maklumat dengan Amerika Syarikat bagi tujuan anti-keganasan antarabangsa
vi. Persetujuan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat termasuk pembelian RM250 juta persenjataan baru dari Amerika Syarikat
vii. Isu nasib umat Islam Rohingya
viii. Meningkatkan tata kelola perdagangan dan membanteras pemerdagangan manusia
ix. Menyambung kerjasama pendidikan melalui program Fulbright
Daripada senarai isu yang dibincangkan itu, Rafizi berkata isu Rohingya tersenarai sebagai isu ketiga paling tidak penting dan bagi mereka yang memahami protokol diplomatik, menjadi perkara biasa ia dimasukkan di dalam kenyataan bersama selepas pertemuan diadakan.
Beliau bagaimanapun yakin kemungkinan Najib membawa isu umat Islam Rohingya dalam pertemuan empat mata sesingkat 10 minit itu adalah terlalu kecil memandangkan pelbagai isu yang dikira lebih penting oleh Amerika Syarikat.
“Sama ada Datuk Seri Najib benar-benar membawa isu itu dalam pertemuan sesingkat 10 minit itu tidak akan dapat disahkan sampai bila-bila kerana ia pertemuan tertutup empat mata dan kita bergantung sepenuhnya kepada versi yang disebut Datuk Seri Najib.
“Oleh itulah, di antara kesimpulan logik bahawa isu umat Islam Rohingya hanya dimasukkan di dalam kenyataan bersama dan diletakkan sebagai isu ketiga paling corot dan mempercayai bahawa Datuk Seri Najib membawa isu itu di dalam pertemuan sesingkat 10 minit sedangkan banyak lagi isu lain yang lebih penting kepada Amerika Syarikat, saya yakin majoriti rakyat Malaysia boleh membuat kesimpulan yang logik,” katanya.
Rafizi juga mengingatkan bahawa Najib pernah mengaku menerima derma RM2.6 bilion dari keluarga diraja Arab Saudi dan sudah pasti rakyat boleh membuat kesimpulan yang lebih logik berhubung maklumat yang disampaikan perdana menteri berhubung isu Rohingya hasil pertemuannya dengan Trump.