Komen Anwar rumitkan dasar Pakatan Harapan – GAH
Gerakan Aktivis Harapan (GAH) mempertikaikan ‘niat murni’ di sebalik kenyataan yang dikeluarkan Ketua Umum Pakatan Harpan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengiktiraf kerja-kerja rundingan antara PKR dan Pas yang dilaksanakan Datuk Seri Azmin Ali.
Jurucakap GAH Zanirun Baba berkata, kenyataan Anwar itu seolah-olah pemberian permit yang menghalalkan hubungan gelap antara PKR dengan Pas walapun presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah sudah menandatangani persetujuan untuk menolak sebarang rundingan dengan parti Islam itu
“Daripada kenyataan itu, GAH melihat seolah-olah Anwar mahu membuka semula sekatan yang telah dipersetujui PH untuk membolehkan Azmin Ali mengadakan rundingan bersama PAS atas alasan kerangka (framework) di dalam PH.
“Persoalannya telah pun wujud keluarga besar di dalam PH dan segala gerak kerja pilihan raya adalah secara muafakat di dalamnya. Apakah ini kurang jelas? Kerangka apakah yang mahu dirumitkan lagi?” tanya beliau dalam satu kenyataan media.
Beliau juga membangkitkan isu tidak perlunya PKR mengadakan EGM atau Kongres Khas berhubung kerjasama dengan Pas dan Anwar mengatakan bahawa kongres itu tidak akan mengubah dasar.
“Bagaimana Ketua Umum tahu dasar akan kekal atau tidak sedangkan kongres ini sememangnya bertujuan menentukan halatuju iaitu polisi bagi memantapkan rundingan kerjasama politik antara parti-parti politik di luar PKR.
“Umum mengetahui bahawa Pas bukan sekadar menyindir, menghina malah menolak secara rasmi melalui muktamarnya untuk berpisah dengan PKR.
“Umum juga mengetahui bahawa Pas mempunyai hubungan lebih akrab dari segi politik dan strategiknya dengan UMNO.
“GAH menyanjung tinggi sikap merendah diri Anwar dengan mana-mana entiti yang senantiasa memperlecehkan beliau dan organisasinya. Tapi semua parti politik termasuklah Pas, mahupun daripada BN, mereka mempunyai prinsip mempunyai batasan dalam diplomasi.
“Apakah parti pimpinan Anwar sudah hilang daya saing, nilai dan maruah kerana kelihatan kebulur, terliur bagai orang hilang pedoman menanti harapan daripada bekas pasangan yang sudah bercerai (Pas)?” soal kenyataan itu lagi.
GAH menyangsikan penyelesaian kaedah selain kongres khas ketika masa semakin suntuk menuju pilihan raya umum ke 14 dan pasukan PH menghadapi masalah untuk memulakan kempen secara besar-besaran berikutan pertelagahan dalaman PKR yang tidak kunjung selesai.
“Yang penting di sini, GAH melihat secara pokok daripada kenyataan Ketua Umum itu sekiranya saluran melalui EGM tidak mahu diguna pakai ketika ini, apakah kaedah (method) dalam masa paling pendek menghadapi PRU14 untuk PKR memuktamadkannya, iaitu bukan sekadar menyatakan untuk menolak PAS malah harus dilihat melalui tindakan untuk menolak Pas,” kata kenyataan itu yang turut dikeluarkan oleh Othman Ismail, Annuar Ismail, Mohd Saad Ismail, Lee Thian Soo dan Dr Maniam