Biar pun sukar, PH tetap usaha tawan Kelantan, Terengganu
Pakatan Harapan meletakkan misi yang dianggap cukup sukar jika tidak mustahil bagi AMANAH – untuk merampas Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya akan datang – daripada bekas parti induknya, PAS.
Kelantan adalah kubu kuat PAS sejak ditawan daripada Umno pada tahun 1990.
Sementara, di Terengganu, PAS hampir memenangi negeri itu tanpa bantuan mana-mana sekutunya pada tahun 2013, jika ia berjaya merampas tiga lagi kerusi dari Umno.
PAS juga merupakan antara parti pembangkang utma di negara ini, sementara AMANAH ditubuhkan oleh pemimpinnya yang disingkirkan dari parti Islam itu pada tahun 2015. Parti serpihan itu kini bergelut untuk mendapatkan momentum.
“Kemungkinan tidak menyebelahi kami (AMANAH), tetapi kami parti terbaik untuk mencabar PAS,” kata Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad kepada Malaysiakini.
“Ia tugas yang sukar tetapi tidak mustahil, AMANAH mungkin membuat kejutan (dan menewaskan) PAS,” tambah Dzulkefly.
Pemilihan AMANAH untuk menerajui kempen HARAPAN di Kelantan dan Terengganu, adalah sentimen yang dikongsi oleh rakan gabungan parti pembangkang itu.
Walau bagaimanapun, AMANAH benar-benar berdepan jalan yang sukar.
Ketika PAS dan AMANAH bertembung dalam pertandingan tiga penjuru dengan BN, tahun lalu semasa pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, keputusannya menyaksikan kemenangan besar berpihak kepada BN.
Keadaan sama nampaknya akan berulang pada pilihan raya umum ke-14, dengan PAS nekad mahu menjadi kuasa ketiga, tindakan yang menurut pemerhati politik akan memecahkan undi pembangkang, sekali gus memberi kelebihan kepada BN.
Menurut Dzulkefly, keputusan seumpama itu adalah alasan mengapa AMANAH dipilih untuk bertarung dengan PAS.
“Ini adalah untuk mengelisahkan mereka supaya kembali ke realiti.
“Ini adalah untuk menunjukkan bahawa dalam pertandingan tiga penjuru, AMANAH mungkin tidak akan menang, tetapi begitu juga dengan PAS, dan prospek kemenangan Umno adalah benar,” katanya.
PRU14, katanya, akan mencatatakan keputusan yang sangat berbeza jika PAS bersama pembangkang.
“Pilihan raya ini, akan dengan mudah dimenangi pembangkang jika PAS mencapai persetujuan menjadi sahabat semula,” katanya.
Dzulkefly mendakwa terdapat insentif bagi PAS untuk bekerjasama, kerana kemungkinan mereka akan kehilangan Kelantan kepada Umno.
“Bagi saya, analisis terakhir kami, mereka mungkin kehilangan Kelantan tetapi mampu menawan Terengganu.
“Kami (HARAPAN) berharap dapat membawa mereka kembali ke meja rundingan.
“Tetapi PAS mahu membuktikan bahawa mereka adalah bijak, tetapi mereka tidak menyedari bahawa mereka telah kehilangan plot,” kata Dzulkefly.
Beliau berkata jika PAS benar-benar bijar, mereka boleh mengikat perjanjian supaya AMANAH tidak bertanding di pantai timur.
Malah, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan mereka yang rapat dengannya telah berulang-kali cuba berunding dengan PAS, tetapi ini juga ditolak berulang kali.
Baru-baru ini, Majlis Presiden HARAPAN juga memutuskan bahawa tidak akan ada kerjasama pilihan raya dengan PAS.
Walau bagaimanapun Dzulkefly masih menaruh harapan tetapi berkata, kerjasama tidak boleh dilakukan pada minit-minit terakhir.
Dalam pada itu, AMANAH bertekad untuk merampas pantai timur untuk HARAPAN dan percaya parti itu mempunyai pemimpin yang bersesuaian untuk melaksanakan tugas berkenaan.
Di Kelantan, kempen HARAPAN akan diketuai oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa (foto, atas, kiri).
Husam adalah seorang anak didik bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang cukup dihormati oleh pelbagai pihak.
Sementara itu di Terengganu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (foto, bawah, kanan) – adalah kerabat diraja – yang diserahkan tanggungjawab tersebut.
Selain Kelantan dan Terengganu, HARAPAN juga meletakkan AMANAH untuk mengetuai jenteranya di Melaka.
Malaysiakini difahamkan bahawa Melaka, Negeri Sembilan dan Perak adalah negeri terakhir yang mana pengerusi HARAPAN diputuskan.
Menurut sumber, atas semangat membahagikan negeri-negeri secara sama rata, mereka memutuskan bahawa BERSATU akan mengetuai di Perak, PKR di Negeri Sembilan dan AMANAH di Melaka.
Dzulkefly berkata Pengerusi HARAPAN Melaka, Adli Zahari sudah mempunyai pasukannya dan bersedia untuk berkempen.
Beliau walau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi oleh AMANAH di negeri itu, tetapi sekadar berkata jumlah yang besar.
“Melaka telah lama diabaikan, jadi terdapat banyak potensi untuk merampas negeri ini pada pilihan raya akan datang,” katanya.