Pas Selangor akur jika Hadi arah undur dari kerajaan negeri
PAS Selangor berikrar akan patuh kepada keputusan pucuk pimpinan parti mengenai kedudukan exco PAS dalam kerajaan Selangor, susulan usul putus hubungan dengan PKR.
Mesyuarat agung tahunan Dewan Ulama dan Dewan Pemuda PAS baru-baru ini meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan PKR, dan diangkat ke Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan.
Usul itu hampir pasti diluluskan pada muktamar PAS ke-63, yang diadakan di Alor Setar dan akan berakhir esok.
“Kami saf kepimpinan, perwakilan seluruh Selangor, kita berdiri teguh di bawah kepimpinan PAS Pusat termasuk Majlis Syura Ulama. Apa saja keputusan kita akan akur dan kita akan patuh.
“Kalau kata maju ke depan, kita akan maju ke depan. Kalau kata undur, kita akan undur,” katanya ketika membahaskan ucaptama Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari kedua muktamar di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.
Keengganan PAS melepaskan kedudukan exco menjadi perbualan orang ramai, selepas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution meminta PAS mengambil tindakan terhormat dengan berundur dari kerajaan negeri selepas usul diluluskan.
PKR memimpin kerajaan negeri yang dibentuk bersama PAS, DAP dan Amanah. Tiga exco dari PAS ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
Tiada kepastian sama ada arahan berundur juga akan memberi kesan kepada ahli majlis PAS di peringkat pihak berkuasa tempatan.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata mereka tidak berhasrat menyertai kerajaan negeri Selangor melibatkan DAP sekiranya Pakatan Harapan menang di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
PAS turut mengesahkan mereka berhasrat menawan Selangor pada PRU-14 nanti. – FMT