Empat tawaran Pakatan Harapan sempena Hari Pekerja


KUALA LUMPUR, 30 APR: Pakatan Harapan (PH) mengetengahkan empat fokus utama penyelesaian berkaitan isu pekerja yang akan dilaksanakan gabungan itu jika mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang untuk memerintah negara.
Cadangan yang antara lain menyentuh isu kos sara hidup, pengangguran dalam kalangan anak muda, hak pekerja sambilan, dan masalah yang dihadapi rakyat yang bekerja di luar negeri diutarakan PH bersempena sambutan Hari Pekerja esok.
Bagi aspek kos sara hidup, gabungan yang terdiri daripada DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengulangi ikrarnya untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Selain itu, menyentuh aspek yang sama, PH juga akan mengurangkan kos pengangkutan awam selain menghapuskan kapitalisme kroni dan memastikan persaingan sihat berlaku dalam sektor perkhidmatan dan barangan, seperti beras, jalan bertol, perkhidmatan telco serta internet.
Saranan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara bersama dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, PH turut akan mewujudkan Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Pakatan Harapan bagi mengatasi masalah pengangguran melibatkan anak muda di negara ini.
PH turut memaklumkan bahawa sayap pemudanya telah diarahkan untuk bertemu dengan pelbagai kumpulan sasaran dan pihak berkepentingan pada Mei depan bagi mewujudkan pelan tindakan mengatasi masalah tersebut.
“Pakatan Harapan cukup risau dengan peningkatan kadar pengangguran, terutama pengangguran anak muda pada skala jangkamasa panjang.
“Pengangguran dianggarkan pada 3.5 peratus pada 2016, iaitu peningkatan dari 3.1 peratus (2015) dan 2.9 peratus (2014),” kata PH.
Jika memerintah Putrajaya, PH juga akan menggubal rang undang-undang (RUU) khusus bagi memastikan kepentingan pemandu ‘e-hailing’ seperti Uber dan Grab terbela tanpa mengabaikan nasib dan kebajikan pemandu teksi dan lain-lain pekerja sambilan.
PH juga prihatin dengan rakyat Malaysia yang terpaksa keluar negeri untuk mencari rezeki ekoran pendapatan yang rendah dan mendatar di negara ini ditambah dengan suasana ekonomi yang suram justeru mengesyorkan beberapa cadangan.
“Bagi jangkamasa pendek, Pakatan Harapan berjanji membantu untuk memudahkan proses perjalanan pekerja Malaysia di antara Johor dan Singapura.
“Pada jangkamasa panjang, Kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha untuk menghidupkan semula ekonomi negara untuk memastikan lebih ramai pekerja Malaysia akan memilih untuk bekerja di Malaysia berbanding di luar negara,” ujar PH.