Kereta mewah: Pesuruhjaya Pas Terengganu pernah tegur YB tukar Mercedes
ULASAN: Kontroversi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Terengganu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menghadiahkan sebuah kereta mewah Audi Q7 kepada isteri keduanya masih belum berakhir biar pun beliau menjawab bahawa membeli kereta mewah adalah hak peribadi sebagaimana dipetik The Star Online.
Kisah kemewahan pemimpin Pas muktahir ini mengingatkan kita kepada suatu kisah ketika YB DUN Manir Datuk Harun Taib (gambar) melarang YB DUN Telok Pasu Ismail Mamat membeli kereta Mercedes terpakai milik seorang wakil rakyat Pas Terengganu, lebih sedekad lalu.
Walaupun kereta itu sudah pun bertukar tangan tetapi Harun Taib yang juga Pesuruhajaya Pas Terengganu waktu itu tetap mahukan Ismail mengembalikan semula Mercedes tersebut kepada pemilik asalnya dan guna semula kereta proton saga.
Akhirnya Ismail akur dengan keputusan ketuanya, walaupun sebenarnya harga Proton Saga itu lebih mahal daripada Mercedes tersebut.
Inilah etika seorang ulama, seorang ketua dan seorang pemimpin yang menegur dan tegurannya dipatuhi ahli di bawahnya.
Namun sekarang tidak ada lagi ulama Pas seperti itu, dan tiada lagi wakil rakyat seperti itu.
Memanglah seseorang yang kaya-raya walaupun dia seorang pemimpin parti Islam berhak untuk berbelanja atau berjoli sakan tetapi seseorang wakil rakyat parti Islam terikat dengan nilai dan prinsip yang tidak ada pada pemimpin parti sekular seperti Umno dan sebagainya.
Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sentiasa berpesan kepada wakil-wakil rakyat Pas di Kelantan dengan katanya:
“Ambo in sha Allah buleh jago diri ambo daripada hidup bermewah dan bergaya akan tetapi ambo dok jamin para tuan-tuan YB sekalian buleh menahan nafsu dunia….”
Ketika Pas memerintah Terengganu 1999 – 2004, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Harun Taib dengan tegas melarang para YB menukar kereta, membina rumah baharu kecuali jika sangat uzur kereta atau rumah itu, maka barulah dibuat perubahan.
Namun adakah YB – YB Pas hari ini berperilaku sedemikian?