Henti beli PT Eagle, cari di mana modal RM2 bilion? – ANAK
Kerajaan digesa campur tangan agar Felda menerusi anak syarikat, Felda Investment Corporation(FIC) Properties, membatalkan perjanjian jual beli kepentingan 37% dalam ladang PT Eagle High Plantation, milik Rajawali Group yang berpengkalan di Jakarta.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(Anak) Mazlan Aliman berkata, sesuatu yang melucukan apabila Felda Global Venture Holding(FGVH) pada tahun 2015 beria ia mahu membeli kepentingan diatas ladang seluas 320,000 hektar itu dan membatalkannya, kini, FIC pula berbuat demikian.
“Untuk pengetahuan, Pengerusi kepada FGVH dan FIC adalah orang yang sama, Tan Sri Isa Samad,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru ujarnya, yakin proses due diligence(jika dibuat) yang mengambilkira soal perundangan, kedudukan saham dan aset serta penilaian atas ladang tidak dilakukan dengan telus.
“Kita bimbang pembelian Ladang PT Eagle High Plantation yang nilainya begitu mahal dibuat atas agenda peribadi. Kita juga maklum, empayar Rajawali Group yang dimiliki Peter Sondakh ada kaitan dengan pemimpin utama Malaysia.
“Adalah lebih baik FIC fokus kepada memperkasa bidang perhotelan dan hartanah seperti core business mereka yang pada ketika ini pun sedang dipersoalkan tahap pencapaiannya.
“Bahkan, FIC baru sahaja mengambilalih projek Perumahan Generasi Baru Felda(PGBF) dari Felda Engineering Sdn Bhd. Lebih baik selesaikan segera masalah 11,000 unit rumah Gen 2 yang terbengkalai,” ujarnya.
Anak juga berpandangan jika FGVH yang dikatakan mempunyai kepakaran dalam bidang perladangan membuat keputusan membatalkan pembelian, apa kelebihan yang ada pada FIC?
“Adalah amat malang dan menyedihkan di kala isu kritikal seperti FGV, pembayaran hasil, hutang peneroka, penipuan kadar perahan Gred, ketidakstabilan harga getah dan perumahan Generasi Baru Felda sedang menyelubungi warga Felda, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Tan Sri Isa Samad yang bertanggungjawab keatas Felda tidak sensitif langsung bahkan semakin ghairah melakukan pelaburan baru.
“Setakat mana gembar gembur kejayaan FGV, yang kini warga Felda menanggung akibatnya? Sejauh mana bayaran balik pinjaman RM6 bilion dilakukan kepada KWSP?
“Anak ingin bertanya, jika pembelian ini dimuktamadkan, di mana US$505.4(RM2.26 bilion) mahu diperolehi?Adakah pinjaman baru dilakukan?” soalnya.
Katanya lagi, pertubuhan itu akan menggerakkan kempen dengan dokongan parti politik dan NGO bagi mempastikan pembelian ladang Pt Eagle High Plantation ini dibatalkan.
“Cukup lah derita dan airmata para peneroka akibat percaturan salah penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 lalu.
“Berapa nilai saham FGV hari ini?,” soalnya lagi.