2016: Ringgit merosot, eksport tak bertambah, pengangguran memuncak
Tinggal empat hari sahaja lagi sebelum memasuki tahun baharu 2017. Tahun 2016 akan diingati dengan pelbagai peristiwa ekonomi, sosial dan politik yang buruk di Malaysia
Bagi Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Jamzuri Ardani tahun 2016 malap dan menyaksikan seramai 70,000 dari 14 juta tenaga kerja negara tidak mempunyai pekerjaan berikutan kadar pengangguran meningkat 0.5 peratus berbanding dua tahun lepas menjadikannya 3.5 peratus pada tahun ini.
Dari sudut asas ekonomi pula, katanya, kejatuhan nilai ringgit sepatutnya meningkatkan permintaan barangan keluaran tempatan untuk dieksport ke luar negara, tetapi ianya tidak berlaku.
“Malah, lebih banyak majikan dari kalangan syarikat-syarikat asing yang gulung tikar. Ramai pekerja yang hilang pekerjaan.
“Syarikat tempatan juga banyak yang tidak mampu bertahan akibat kos perniagaan yang terus meningkat,” ujar beliau ketika dihubungi Amanahdaily.
Jamzuri berkata, golongan professional sudah mula membuka gerai jualan untuk menyambung kehidupan yang semakin menghimpit.
Kerajaan yang menjadi majikan terbesar negara pula katanya, mula membekukan perjawatan baru dan hanya menggantikan kakitangan yang bersara.
Tambah beliau lagi, tindakan Kesatuan Sekerja Kakitangan Awam yang mahukan lanjutan umur persaraan pula hanya lebih memburukkan keadaan.
“Kos pendidikan tinggi semakin meningkat, tetapi nilai kelulusan dan ijazah para graduan semakin mengecil akibat peluang pekerjaan yang semakin menyempit,” tegas beliau.
“Mampukah kerajaan pimpinan (Dato Seri) Najib Razak membawa negara keluar dari himpitan ekonomi dan sosial yang semakin menekan rakyat ini?
“Saya tidak nampak sikap kerajaan dan Najib boleh membantu menangani masalah ini. PM masih berada dalam ‘denial syndrome’.
“Dia masih melihat rakyat masih mampu makan KFC, mampu pergi bercuti, dan mampu membeli belah di pasaraya-pasaraya,” ujar beliau.
Padahal, kata Jamzani, kesempitan rakyat terus berada dalam lingkaran “blind spot” PM dan ini sikap yang amat membimbangkan beliau.
Katanya, Najib masih berfikir bahawa pemberian BR1M adalah jawapan kepada masalah ini dan beliau bukan sahaja silap, malah sangat tidak betul.
“Saya menyeru semua karyawan politik negara memberikan fokus kepada masa depan negara, masalah rakyat, krisis ekonomi dan sosial, dan perpaduan rakyat.
“Negara ini mesti diselamatkan!” tegas beliau lagi. Amanah daily