Golongan muda wajib tolak BN dan penasihat BN – Pemuda Amanah
Golongan pengundi muda di Parlimen Sungai Besar perlu mengetahui status sebenar calon Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 18 Jun ini.
Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi berkata, PRK di Parlimen itu perlu dijadikan isyarat bahawa rakyat telah mula muak dan menolak Umno-BN.
Rakyat juga, ujarnya, tidak boleh menerima parti yang mahu bersendirian dan tidak tetap pendirian.
“Hanya Pakatan Harapan menentang BN manakala kehadiran Pas sekadar memeriahkan pilihan raya ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut tentang kerjasama diperoleh, Abbas berkata, Pemuda Amanah negeri turut mendapat bantuan cukup baik daripada rakan komponen Pakatan Harapan iaitu dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda DAP (Dapsy).
“Pemuda Amanah Negeri Selangor yakin dengan kemampuan jentera Pemuda yang semakin diterima rakyat khususnya pengundi muda.
“Segala gerak kerja yang telah disusun akan dijalankan dengan sebaiknya dan semangat Ramadhan menjadi daya penguat jentera kami,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, kira-kira 42 peratus daripada 42,655 pengundi merupakan golongan muda iaitu berusia 21 hingga 40 tahun.