Suku pertama 2016, 400 ribu rakyat menganggur
Kira-kira 400,000 rakyat di negara ini masih menganggur dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Jumlah berkenaan direkodkan berdasarkan penganggur yang mendaftar di laman portal Jobs Malaysia.
Ketua Pengarah Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Jeffrey Joakim berkata, bagaimanapun pihaknya akan mengusahakan bagi menempatkan sebahagian daripada mereka yang tidak bekerja di mana-mana industri yang menawarkan kerja kosong.
“Kadar pengangguran di negara ini adalah sebanyak 3.2%, jumlahnya masih stabil dengan pertambahan peluang pekerjaan yang belum di sini,” katanya menurut laporan Sinar Harian Online, semalam.
Mohd Jeffrey berkata, cabaran wujud sama ada warga tempatan sanggup atau tidak menerima tawaran pekerjaan yang ditawar majikan.
Pada masa sama, beliau menggesa majikan memberi tawaran gaji lebih baik supaya dapat menarik minat kepada mereka yang masih mencari kerja.
Gaji minimum ditetapkan undang-undang RM900 sebulan namun katanya, majikan seboleh-bolehnya digesa menawarkan gaji lebih tinggi daripada jumlah itu.
“Kalau majikan dapat berkorban sedikit dari segi tawaran gaji, saya rasa lebih ramai warga tempatan yang minat mohon pekerjaan ditawarkan.
“Bagilah gaji lebih sikit, tawarkan juga terma-terma perkhidmatan yang menarik, ini semua perlu ada pengorbanan daripada majikan,” katanya.