Pemilik rumah tiada kaitan dengan kerajaan negeri – Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan dakwaan syarikat ahli perniagaan Phang Li Koon, yang menjual rumah kepadanya, mempunyai hubungan niaga dengan kerajaan negeri.
Guan Eng berkata, kenyataan Pemuda UMNO gagal membuktikan syarikat Phang adalah satu-satunya syarikat yang disenarai dalam direktori pelaburan negeri sebagai agensi pekerja asing, tetapi salah satu daripada 30 agensi sepertinya.
Beliau dalam satu kenyataan media hari ini berkata, pihaknya telah menamatkan kontrak agensi pekerja asing ekoran dasar kerajaan negeri untuk tidak menggaji pekerja asing. Mereka telah digantikan dengan 2,500 pekerja Malaysia, katanya.
Katanya, tidak ada keperluan bagi kerajaan negeri untuk mencari perkhidmatan Phang sebaliknya mana-mana syarikat boleh mohon untuk disenaraikan dalam direktori InvestPenang yang mana fungsinya sama seperti Yellow Pages mini.
Guan Eng berkata InvestPenang mempunyai banyak senarai lain perkhidmatan profesional untuk menghebahkan nama-nama dan perkhidmatan daripada syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang, dan syarikat-syarikat ini tidak semestinya mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan kerajaan negeri.