Syarat TPPA: Warga asing boleh pimpin kesatuan sekerja
Putrajaya perlu meminda sekurang-kurangnya 8 undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan hak asasi manusia sekiranya ingin menandatangani Perjanjian Perkongsian Tran Pasifik (TPPA), kata bekas pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah.
Meskipun tidak menafikan pindaan 8 undang-undang itu merupakan perkara yang baik, namun Penolong Setiausaha Umum Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) mempersoalkan sejauh manakah ketelusan pelaksanaan kerajaan terhadap undang-undang itu.
Beliau berkata, ketidakjelasan dari sudut mekanisme digunakan kerajaan dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang hak asasi masih lagi menjadi tanda tanya.
“Ini sebenarnya perubahan yang bagus, tapi kita tidak mahu perkara dijanjikan sebagai bagus itu mewajarkan kerugian besar lain seperti kehilangan pekerjaan, kos perubatan tinggi membebankan pekerja walaupun perlindungan undang-undang ditambah baik,” katanya pada sidang media di pejabat Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), di Kuala Lumpur.
Katanya, antara peruntukan dalam pindaan itu menyebut jika Malaysia menyertai TPPA, warga asing yang sebelum ini tidak layak memegang jawatan dalam kesatuan sekerja boleh mendapat hak sama seperti pekerja tempatan.
“Ini persetujuan bersama Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang menuntut kita meminda undang-undang termasuk warga asing memegang jawatan dalam kesatuan sekerja,” katanya.
Beliau juga menyifatkan perjanjian TPPA hanya memberi kelebihan kepada pelabur apabila mereka membenarkan menyaman sesebuah kerajaan namun tidak memberi manfaat kepada rakyat biasa.
“Dalam TPPA ini yang lebih diutamakan ialah pelabur, maksudnya ada tribunal di luar negara ditubuhkan bagi selesaikan pertikaian antara pelabur dan kerajaan yang mana kita lihat ada mekanismenya.
“Ia hanya lebih kepada pelabur, bagaimana cara pelabur untuk saman kerajaan kata, bila menandatangani, kerajaan kena patuh maksudnya tidak ada mekanisme melindungi pengguna.
“Seperti contoh kalau berlaku pencemaran alam sekitar maka tidak ada hak perlindungan pengguna seperti berlaku di Amerika Selatan, kerajaan batal lesen lombong kerana pencemaran namun sebaliknya pelabur menyaman kerajaan,” katanya.
Beliau berkata senario itu tidak memberi manfaat kepada pekerja Malaysia kerana gaji yang dibayar akan lebih rendah, hilang pekerjaan dan Suhakam pernah menyarankan kepada Putrajaya untuk melakukan penilaian kesan TPPA terhadap hak asasi manusia namun ianya tidak pernah dijawab kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bantah TPPA Azlan Awang berkata berdasarkan pengiraan dilakukan daripada maklumat PricewaterhouseCoopers’s (PWC) mengenai analisa kelebihan kos (CBA) menunjukkan pada 2027 kenaikan gaji bulanan sekitar RM25 jika kerajaan menandatangani TPPA.
Azlan berkata, ia tidak memberi sebarang perbezaan atau kelebihan kepada rakyat Malaysia kerana kenaikan selepas menandatangani hanyalah sekitar RM25.
Malah beliau juga menjangkakan berlakunya pengurangan pendapatan isi rumah dalam tempoh 2018 hingga 2027 sekitar RM117.
“Amat menakjubkan apabila mereka menyifatkan ia perjanjian perdagangan abad ke-21, berkualiti tinggi, semuanya 6,200 muka surat menyentuh segala-galanya mengenai polisi negara sedia ada dan memberi kesan kepada setiap kehidupan rakyat dan generasi masa depan bagi tempoh 100 tahun,” katanya.
Azlan berkata, ini termasuk dengan TPPA menyaksikan Malaysia merisikokan sendiri pelan Rancangan Malaysia ke-11 yang menyasarkan pendapatan tinggi rakyat.
“Apabila TPPA ini berkuatkuasa kita tidak dibenarkan untuk melaksanakan gaji minimum di mana ketika ini ditetapkan sebanyak RM1,000.
“Polisi gaji minimum ini amat penting untuk menaikkan gaji terutama mereka berpendapatan rendah.
“Pada masa kini gaji minimum Malaysia RM5 per jam di mana lebih rendah daripada Jakarta iaitu RM5.40 dan Manila RM5.52,” kata Azlan