Pasaran lemah, petanda kegawatan ekonomi semakin jelas
Ekonomi negara menunjukkan kelemahan pada awal 2016. Meskipun penanda aras bursa saham masih lagi kukuh namun pasaran peringkat bawahan telah menunjukkan tanda-tanda kelemahan.
Petanda jelas adalah kesukaran pekerja bawahan warga Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kos hidup manakala pekerja asing pula merungut pendapatan di negara mereka lebih tinggi berbanding negara ini.
Dalam tinjauan Suara pakatan daily, seorang ‘cleaner’ berasal dari Indonesia yang menyewa bilik di Bandar Menjalara, Kuala Lumpur berkata beliau berhasrat meninggalkan Malaysia hujung tahun ini kerana peluang pekerjaan di tanah airnya sudah bertambah baik.
“Ekonomi Malaysia sudah tidak bagus. Rakyat Malaysia akan susah kerana harga semua barang telah naik,” katanya.
Beliau juga berkata, di hospital kerajaan tempatnya bertugas peruntukan telah dikurangkan. Justeru, kertas-kertas tisu lap tangan di tandas-tandas semuanya akan kehabisan selepas hari Rabu atau Khamis pada setiap minggu.
Selain itu, tiga orang pekerja kilang yang menyewa bilik di Bandar Menjalara juga berkata bahawa lebih banyak kilang kecil yang kurang dari 50 orang akan ditutup sebelum bulan Jun ini. Mereka langsung tidak yakin kerajaan boleh membuat apa-apa mengenai situasi kelembapan kerana kantung negara sudah berada dalam keadaan yang parah.
“Ekonomi sudah gawatlah. Tengoklah, selepas Tahun Baru Cina situasi akan tambah teruk lagi dan pekerja kilang yang sudah tua seperti saya akan diberhentikan,” kata pekerja kilang, Alan Chong, berusia 50 tahun.