PRN Sarawak: Pakatan Harapan beri autonomi runding kerusi
Mendedahkan rundingan kerusi di antara 3 parti Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sedang berjalan di Sarawak, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kebebasan diberikan kepada peringkat negeri untuk membuat keputusan.
Ketua setiausaha Pakatan Harapan itu berkata, ketiga-tiga parti itu bersetuju rundingan dibuat pimpinan ketiga-tiga parti peringkat negeri Sarawak.
“Perbincangan sedang berlaku kalangan pemimpin DAP, PKR dan Amanah dan itu petanda yang baik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
“Tumpuan utama Pakatan Harapan yang parti kami berbincang sesama mereka dan mereka di sana lebih memahami dengan mana-mana pihak.
“Kami jelas mengenai ini dan kita beri mereka peluang bincang,” katanya.
Meskipun begitu, Saifuddin enggan mengulas sama ada rundingan kerusi itu melibatkan PAS atau tidak.
“Saya tidak akan jawab hal itu sekarang.
“Mereka juga berbincang dengan kesemua parti yang relevan,” katanya yang juga tidak menjawab soalan wartawan adakah PAS parti yang relevan di Sarawak.
Sebelum ini Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengatakan Pilihan Raya Sarawak dijangkakan akan diadakan pada Mac tahun ini.