Ketuanan Melayu adalah khurafat, Umno BN perlu diganti – Faiz
Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru supaya umat Islam tidak terperangkap dengan dakyah perkauman dengan membuang khurafat kononnya hanya Umno membela Melayu.
Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, fahaman dan ideologi sempit perkauman demi survival kekuasaan politik pemerintah menyekat kebebasan rakyat dalam mengamalkan hak demokrasi selain peruntukan drakonian seperti Akta Hasutan, Sosma dan terkini undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Rakyat kini ditakutkan dengan dogma ketuanan Melayu akan terhakis sekiranya Umno hilang kuasa. Jika Melayu hilang kuasanya, kedudukan agama Islam kononnya akan terancam.
“Hegemoni ini sesungguhnya merugikan dan menganiaya rakyat terutamanya orang Melayu. Umat Islam tidak seharusnya terperangkap dengan dakyah ini. Khurafat yang Umno sahaja yang mampu membela nasib Melayu dan kesucian Islam harus dibuang masyarakat Melayu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, masyarakat Melayu harus lebih bijak dan berani menentukan kualiti kehidupan yang lebih baik dan terjamin memandangkan kedudukan Islam dan keistimewaan Melayu sudah terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan diubah kerana ia adalah struktur asas Perlembagaan negara.
“Sesungguhnya, kerakusan pemerintahan Umno dan BN ini tidak boleh sekadar dinasihati, tetapi perlu dijatuhkan. Reformasi dan transformasi perlu dilakukan rakyat.
“Keharmonian dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum pasti akan lebih terjamin dan terjaga sekiranya politik nilai diberikan keutamaan dalam amalan demokrasi. Tsunami politik Melayu pada 1999 berjaya menggoncang keangkuhan pemerintahan Umno dan BN,” jelasnya.
Sehubungan itu, Faiz berkata, rakyat pada masa ini perlu dididik dengan politik nilai yang berasaskan prinsip syarie dan sejagat iaitu keadilan, kebebasan, kesamarataan, urus tadbir yang baik, integriti, ketelusan dan amanah.
“Rakyat tidak boleh lupa kepincangan pentadbiran Umno dan BN. Terlalu banyak penyelewengan dan salah guna kuasa yang didedahkan termasuk skandal RM2.6 bilion, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan NFC yang melibatkan duit rakyat.
“Malaysia kini direkodkan sebagai negara ketiga paling korup di dalam dunia. Mata wang negara pula menjunam ke tahap cukup rendah. Skandal kewangan dan korupsi ini merencatkan ekonomi negara yang kini ditanggung oleh rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” ujarnya lagi.
Tambahnya, Umno-BN boleh ditumbangkan dalam pilihan raya umum ke-14 melalui penolakan segenap pihak jika rakyat yakin kepada politik nilai mengatasi politik perkauman.
“Tsunami politik Cina pula pada 2013 berjaya mengurangkan undi populariti Umno dan BN kepada 48 peratus sahaja. Jika tsunami politik rakyat dapat dicipta melalui percikan api kebangkitan dan sokongan rakyat semua kaum tidak mustahil Umno dan BN akan ditalkinkan dalam pilihan raya umum ke-14,” kata Faiz lagi.