Pakatan Harapan akan fokus isu rakyat lebih mantap
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa gabungan itu telah merangka beberapa dasar bersama yang lebih mantap dan memberi fokus terhadap isu yang berkaitan rakyat.
Menurutnya, dasar PH kali ini agak berlainan berbanding dasar bersama Pakatan Rakyat yang dahulunya pernah digariskan dalam Buku Jingga. Pendekatan yang dibawa, katanya, lebih kepada penambah baikan dan memperkukuhkan lagi kerangka yang pernah dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat.
“Kami telah mengadakan mesyuarat setiausaha Pakatan Harapan kali keempat sejak Pakatan ini ditubuhkan. Selepas kita menandatangani perjanjian pada 9 Januari lepas, kita sudah mula merangka dasar-dasar bersama Pakatan Harapan.
“Dasar-dasar ini dijangka akan dilancarkan keseluruhannya pada 16 Julai 2016. Ia akan meliputi keseluruhannya dan sebahagiannya mengulangi dan memperkukuhkan dasar-dasar bersama yang dulunya digunakan oleh Pakatan Rakyat.
“Antaranya adalah pendemokrasian, hak asasi manusia dan pentadbiran yang baik. Ini akan ditambah baik mengikut perkembangan semasa,” katanya dalam satu sidang media PH di Ibu Pejabat DAP, hari ini.
Pada masa sama, kata Saifuddin lagi, dasar-dasar bersama Pakatan Harapan itu bakal dilancarkan secara berperingkat supaya rakyat lebih hadam mengenai pendekatan yang dibawa.
“Dasar-dasar bersama Pakatan Harapan ini agak berlainan kerana ia memfokuskan isu-isu utama yang sangat penting untuk rakyat dan itu akan diumumkan satu persatu sebelum Julai,” jelasnya