shahbudin.com
Kebelakangan
ini Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin nampaknya sudah mula
berkias-kias dalam ucapannya sedangkan sebelum ini beliau dikenali
sebagai pemimpin yang selalu serius dalam penampilannnya.
Ahad
lalu, dalam suatu program anti perang yang dihadirinya bersama Tun
Mahathir, Muhyiddin Yassin secara terbuka dan sambil tersenyum berkata,
"anda tidak keseorangan dalam menyatakan kebenaran".
Ungkapan
itu segera ditafsir sebagai jawapan kepada keluhan Tun Mahathir sebelum
itu yang menyatakan beliau mungkin keseorangan dalam kemelutnya dengan
Perdana Menteri, Najib Razak sekarang ini.
Walaupun
ada yang mengatakan kata-kata Muhyiddin itu sebenarnya dalam konteks
yang lain dan semata-mata berkaitan perang, bukannya dalam isu
perselisihan antara Tun Mahathir dengan Najib, tetapi Timbalan Perdana
Menteri itu juga menyebut "keberanian menyatakan kebenaran itulah yang
menjadi imej bekas Perdana Menteri itu sejak menjadi doktor dan ketika
menjadi pemimpin UMNO dahulu".
Jika
Muhyiddin tidak suka ucapannya dikaitkan dengan pendirian Tun Mahathir,
beliau tentu saja boleh menafikannya kemudian. Pejabat Timbalan Perdana
Menteri juga boleh mengeluarkan penjelasan singkat mengenainya.
Tetapi,
walaupun semakin banyak ia dikaitkan dengan pendirian politik dan
seolah-olah sudah meletakkan dirinya bersama-sama Tun Mahathir, sehingga
sekarang tiada satu pun penafian daripada Muhyiddin yang menyatakan
beliau tidak gembira ucapannya telah ditafsir di luar konteks yang
sebenarnya.
Maknanya, beliau rela dan mungkin juga gembira ia ditafsirkan demikian. Barangkali juga, itulah tujuannya.
Semalam
pula ketika menghadiri program penyampaian anugerah untuk penulis,
Muhyiddin sekali lagi melontarkan bait-bait ucapan yang boleh
ditafsirkan ada kena-mengena dengan suasana politik yang sedang berlaku
sekarang.
Beliau mengingatkan penulis agar sentiasa menyatakan kebenaran dan tidak sekali-kali menyebarkan kepalsuan dalam nukilan mereka.
Selain
berulang kali menyatakan keperluan berkata benar, Muhyiddin juga
memetik sajak Sasterawan Negara, Dr Muhammad Salleh yang menekankan
keperluan yang sama.
Jika
sekadar ingin meningatkan penulis tentang kebenaran, apakah perlunya
Muhyiddin berulang kali bercakap mengenai kebenaran itu, termasuk
menyebut "kebenaran yang pahit" dan "pembohongan yang indah" dalam
ucapannya?
Sekali
lagi, ucapan beliau ini tidak sukar dikaitkan dengan kemelut politik
yang sedang berlaku sekarang di mana kebenaran yang sering ditanya oleh
Tun Mahathir berkaitan 1MDB, Sirul dan sebagainya, tetapi tidak pernah
mahu dijelaskan dengan jawapan yang sebenarnya.
Sebagaimana
ungkapan "you are not alone" sebelum ini ditafsirkan sebagai
sokongannya kepada Tun Mahahir, apakah saranan agar sentiasa menyatakan
kebenaran kali ini bukan saja merupakan suatu pujian kepada bekas
Perdana Menteri yang kerap menulis di blognya mengenai kebenaran,
bahkan juga cuba ditujukan kepada Najib agar menjawabnya dengan
kebenaran juga?
Hakikat
bahawa belum ada kebenaran dalam persoalan yang dibangkitkan oleh Tun
Mahathir semakin jelas bila mana beberapa pemimpin seperti Shafie Apdal
dan bekas menteri, Syed Hamid Albar juga tampil menuntut kerajaan agar
memberi penjelasan terperinci mengenainya.
Ini
secara langsung memberi gambaran bahawa semua penjelasan kerajaan
selama ini, termasuk oleh Najib sendiri melalui temubual dengan TV3,
masih tidak memadai untuk merungkai segala kekusutan yang berbelit-belit
dalam pemikiran rakyat.
Hanya kebenaran dan berani berkata benar saja merupakan jawapan yang terbaik kepada persoalan ini.
Dengan
sudah dua kali berkias-kias ini, sampai bilakah beliau mahu berbuat
demikian sedangkan Tun Mahathir mula agresif turun ke bawah menemui
rakyat di mana program pertamanya akan bermula di Taman Melewati, Sabtu
ini?
Apakah
beliau mahu menanam banyak kiasan dulu, sebagaimana sifat semulajadi
orang Muar katanya yang gemar berkias-kias dahulu sebelum mengambil
langkah seterusnya? (SH 22/04/2015)