Husam cadang Dr Mahathir pengerusi ‘ombudsman’
Datuk Husam Musa mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad menggagaskan satu mekanisme bagi menghentikan segala kesilapan yang dilakukan pemimpin negara secara sistematik.Mekanisme itu dicadangkan berfungsi seumpama satu “ombudsman” atau hisbah, dan bekas perdana menteri itu boleh menjadi pengerusinya yang pertama.
Naib presiden PAS itu dalam satu kenyataan berkata, tanpa mekanisme itu, penyalahgunaan kuasa boleh berulang dan rakyat biasa ibarat seperti “anjing menyalak bukit” ketika cuba memperbetulkannya.
“Satu badan ombudsman atau hisbah tertinggi negara? Dr Mahathir sebagai pengerusi pertama? Saya sedia menyokongnya,” kata Husam dalam kenyataannya.
Baginya, Dr Mahathir perlu berada setapak di depan untuk menggagaskan mekanisme itu supaya kesilapan boleh dihentikan, walau siapa pun yang melakukannya, termasuk daripada parti PAS, DAP atau PKR, jika mereka satu hari nanti berkuasa.
Husam berkata demikian ketika mengulas desakan demi desakan yang dilakukan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Husam, perkara utama dalam isu dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ialah salah guna kuasa yang menghasilkan hutang besar yang akan ditanggung oleh negara sekiranya individu terbabit dilepaskan.
“Ini bukan isu pertama seumpamanya bagi negara kita. PKFZ (Port Klang Free Trade Zone), Perwaja, BMF dan lainnya berlaku dan merosakkan sejumlah besar kekayaan negara.
“Bagaimana Islam melihat isu ini? Jika kita izinkan ia berlalu tanpa ditegur, satu demi satu penyelewengan sepertinya akan berulang dan berulang. Bukankah itu satu kemungkaran?
“Sesiapa yang melihat kemungkaran, ia wajib membetulkannya. Jika kita tidak berupaya membetulkannya dan Dr Mahathir berani membetulkannya, atas apa jua motifnya – paling tidak kemungkaran itu dapat dihentikan,” katanya.
Atas dasar itu, kata Husam yang mendapat lapan pencalonan untuk menentang presiden PAS itu berkata, “Kenapa tidak kita membantu Dr Mahathir dalam isu ini.”
Baginya, satu daripada objektif pelaksanaan hudud ialah menyelamatkan harta, termasuk harta awam, dan dalam kes 1MDB, wang awam terlibat menjadi taruhan.