Konsensus Nasional: Reaksi BN lembab
PETALING JAYA 13 FEB: Dalam keadaan rakyat dihidangkan dengan sentimen politik perkauman yang membimbangkan, reaksi kerajaan terlalu perlahan untuk menyambut cadangan Konsensus Nasional yang ditawarkan Pakatan Rakyat.“Proses menyambut gesaan untuk mencapai Konsensus Nasional berlangung amat perlahan.
“Reaksinya lembab di pihak BN ketika diluar sana rakyat terus dihidangkan dengan sentimen politik perrkauman yang semakin membimbangkan,” kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution.
Menurut Saifuddin pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN hari ini, sekurang-kurangnya, tiga gesaan secara rasmi melalui kenyataan media dibuat pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Majlis Presiden.
Kata Saifuddin, pelawaan Pakatan Rakyat dibalas kerajaan melalui kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi 27 Januari lalu
Manakala yang terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri pada 2 Februari yang bercadang membawa cadangan tersebut ke jemaah Menteri.
Tambah Saifuddin, tema politik perkauman dan sentimen agama melampau pernah berlaku di negara ini dengan yang terakhir pada 1997 di Kg Rawa, Pulau Pinang.
Namun, ketika ini lebih serius apabila insiden berbaur perkauman berlaku hampir setiap minggu dengan seperti himpunan di depan gereja, aksi provokasi memotong ayam dan melumur darah di poster terpapar imej pemimpin Pakatan Rakyat.
“Kami meneliti perkembangan dan menggesa pemimpin BN melajukan (proses) supaya rakyat betul-betul dapat melihat kita serius dalam menangani isu-isu yang menggugat perpaduan,” kata Saifuddin.