OLEH MOHD IKHMAL ISKANDAR
Kenyataan MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu “mendedahkan satu persatu” isu projek pembangunan Kedah sebenarnya boleh menjadi 𝗱𝗼𝘂𝗯𝗹𝗲-𝗲𝗱𝗴𝗲𝗱 𝘀𝘄𝗼𝗿𝗱 kepada beliau sendiri.
Masalahnya bukan sekadar siapa yang memulakan projek tetapi siapa yang kemudian mengambil alih, menyambung, mengumum semula, mempromosi, mempertahankan dan menjadikannya modal politik.
Apabila kerajaan negeri memilih untuk meneruskan projek lama, membawa pelabur baharu atau menjadikan projek itu lambang kejayaan negeri, maka tanggungjawab pelaksanaan tidak boleh lagi diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan terdahulu atau Kerajaan Persekutuan.
Dalam bahasa mudah, bila umum projek jangan laju ambil kredit. Bila gagal, jangan semua mahu disalahkan kepada Federal, kerajaan lama, pelabur, pasaran atau kontraktor.
Sebab itu isu seperti 𝗞𝗫𝗣, 𝗪𝗶𝗱𝗮𝗱 𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝘀𝘂𝗸𝗮, 𝗞𝗲𝗱𝗮𝗵 𝗥𝘂𝗯𝗯𝗲𝗿 𝗖𝗶𝘁𝘆, 𝗹𝗶𝘁𝗮𝗿 𝗹𝘂𝗺𝗯𝗮, 𝘀𝘁𝗮𝗱𝗶𝘂𝗺 𝗱𝗮𝗻 𝗟𝗥𝗔, perlu dinilai bukan sekadar berdasarkan siapa yang mencetuskan projek tetapi bagaimana kerajaan semasa mengurus dan menjawab pelaksanaannya.
1. KXP: Projek game changer mesti jawab soalan kewangan
Projek Kulim International Airport atau KXP memang bermula sebelum pentadbiran Sanusi. Namun selepas mengambil alih kerajaan negeri, pentadbiran beliau terus mempromosikan KXP sebagai pemangkin ekonomi baharu Kedah.
Kalau KXP berjaya, pasti ia dijadikan bukti kejayaan pentadbiran semasa. Maka apabila projek gagal atau belum bermula kerajaan negeri tidak boleh berlindung sepenuhnya di sebalik alasan projek lama atau tersekat kerana Federal.
Kerjasama KXP AirportCity Holdings dengan Tahira Air Sdn Bhd pernah diumumkan bagi membentuk SPV Kedah Aerotropolis Holdings Sdn Bhd.
Dalam kenyataan Sanusi sendiri, SPV melalui Tahira Air dikatakan akan mendepositkan 125 peratus daripada anggaran kos pengambilan tanah, kira-kira RM2.5 bilion, dalam tempoh 90 hari bagi membolehkan proses pengambilan tanah dimulakan.
Soalan asasnya:
– Di mana dana RM2.5 bilion itu?
– Sudahkah ia disalurkan?
– Sudahkah pengambilan tanah berjalan secara signifikan?
– Sudahkah financial close berlaku?
– Siapa pelabur sebenar di belakang SPV itu?
Saya sendiri pernah meneliti prestasi Tahira Air Sdn Bhd melalui dokumen awam SSM. Berdasarkan dokumen tersebut, syarikat itu tidak menunjukkan profil kewangan yang sepadan dengan projek berbilion ringgit jika dinilai secara berdiri sendiri.
Isu lebih besar ialah siapa pelabur sebenar di belakang struktur itu, apakah jaminan kewangan mereka dan adakah dana benar-benar tersedia.
Kebimbangan ini selari dengan kenyataan Rafizi Ramli yang lalu ketika menjadi Menteri Ekonomi. Rafizi juga pernah menegaskan bahawa KXP perlu membuktikan kemampanan kewangan jangka panjang kerana projek itu dirancang menggunakan pelaburan swasta.
Portal rasmi Kementerian Ekonomi juga pernah menyenaraikan keratan bertajuk “𝗥𝗮𝗳𝗶𝘇𝗶: 𝗗𝘂𝗲 𝗱𝗶𝗹𝗶𝗴𝗲𝗻𝗰𝗲 𝗼𝗻 𝗞𝗫𝗣 𝗽𝗿𝗼𝗷𝗲𝗰𝘁 𝘃𝗶𝘁𝗮𝗹 𝘁𝗼 𝗮𝘃𝗼𝗶𝗱 𝗳𝘂𝘁𝘂𝗿𝗲 𝗯𝘂𝗿𝗱𝗲𝗻.”
Justeru, apabila Sanusi membina naratif seolah-olah KXP tersekat kerana Kerajaan Persekutuan atau agensi seperti CAAM, TUDM dan MOT, naratif itu palsu.
Jika pembiayaan belum jelas, pelabur tidak cukup meyakinkan atau model kewangan belum kukuh, proses kelulusan tidak boleh dianggap sabotaj politik.
Rafizi dahulu sudah beri amaran awal: buktikan dulu duit dan kemampuan kewangan. Jangan sampai 2026 dana pengambilan tanah pun masih menjadi tanda tanya tetapi semua mahu disalahkan kepada Federal.
2. Widad Langkasuka: Masa umum mega, bila gagal jadi swasta
Projek 𝗪𝗶𝗱𝗮𝗱@𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝘀𝘂𝗸𝗮 di Langkawi diumumkan sebagai pembangunan bercampur bernilai sekitar RM40 bilion, melibatkan 𝗪𝗶𝗱𝗮𝗱 𝗕𝘂𝘀𝗶𝗻𝗲𝘀𝘀 𝗚𝗿𝗼𝘂𝗽 𝗱𝗮𝗻 𝗕𝗶𝗻 𝗭𝗮𝘆𝗲𝗱 𝗜𝗻𝘁𝗲𝗿𝗻𝗮𝘁𝗶𝗼𝗻𝗮𝗹.
Namun apabila Bin Zayed International menarik diri, Sanusi menegaskan ia bukan projek kerajaan negeri sebaliknya projek swasta.
Secara teknikal, mungkin ada asas. Tetapi dari sudut politik pembangunan, ia tetap menimbulkan persoalan.
Kalau projek itu berjaya, adakah kerajaan negeri tidak akan mengambil kredit?
Jika menjadi mercu baharu Langkawi, adakah kerajaan negeri akan berkata, “ini projek swasta, kami tiada kaitan”?
Sudah tentu tidak.
Maka apabila pelabur utama menarik diri, tidak wajar kerajaan negeri berlepas tangan sepenuhnya. Kalau mahu tumpang megah semasa projek diumum, kerajaan negeri juga mesti bersedia menjawab apabila projek itu tidak menjadi seperti digambarkan.
Masa lancar, semua mahu bergambar. Bila gagal, tiba-tiba jadi projek swasta.
—
𝟯. 𝗞𝗲𝗱𝗮𝗵 𝗥𝘂𝗯𝗯𝗲𝗿 𝗖𝗶𝘁𝘆: 𝗔𝗻𝗴𝗸𝗮 𝗯𝗶𝗹𝗶𝗼𝗻 𝗯𝗲𝗹𝘂𝗺 𝘁𝗲𝗻𝘁𝘂 𝗷𝗮𝗱𝗶 𝗸𝗶𝗹𝗮𝗻𝗴
Kedah Rubber City juga sama. Projek ini dijual sebagai pembangunan strategik industri getah.
Antara pelabur yang diumumkan ialah 𝗛𝗼𝗻𝗴 𝗦𝗲𝗻𝗴 𝗖𝗼𝗻𝘀𝗼𝗹𝗶𝗱𝗮𝘁𝗲𝗱 𝗕𝗵𝗱, melalui cadangan pelaburan sekitar RM3 bilion untuk membina fasiliti nitrile butadiene latex.
Namun pada September 2023, Hong Seng menggantung projek tersebut dengan alasan kelemahan pasaran sarung tangan, keperluan pembiayaan dan faktor luar.
Ini menunjukkan bahawa pengumuman pelaburan tidak semestinya bermaksud pelaksanaan sebenar.
Angka bilion memang sedap disebut dalam sidang media. Tetapi rakyat mahu lihat kerja di tapak, kilang beroperasi, peluang pekerjaan sebenar dan hasil ekonomi yang boleh dirasai.
Maka persoalan tentang due diligence, pemilihan pelabur, mitigasi risiko dan pelan gantian tetap wajar dibangkitkan.
—
𝟰. 𝗟𝗶𝘁𝗮𝗿 𝗟𝘂𝗺𝗯𝗮 𝗦𝘂𝗻𝗴𝗮𝗶 𝗣𝗲𝘁𝗮𝗻𝗶: 𝗞𝗮𝗹𝗮𝘂 𝘀𝗮𝗺𝗯𝘂𝗻𝗴, 𝘁𝗮𝗻𝗴𝗴𝘂𝗻𝗴𝗷𝗮𝘄𝗮𝗯 𝗷𝘂𝗴𝗮 𝘀𝗮𝗺𝗯𝘂𝗻𝗴
Dalam isu litar lumba Sungai Petani, Sanusi boleh berhujah bahawa projek itu bermula daripada pentadbiran terdahulu.
Namun apabila kerajaan semasa memilih untuk meneruskan atau mengumumkan semula projek itu, tanggungjawab pelaksanaan turut berpindah kepada kerajaan semasa.
Jika benar ada masalah tanah, kos, reka bentuk atau kontraktor daripada pentadbiran dahulu, kerajaan semasa sepatutnya mengemukakan dokumen lengkap, audit, kronologi dan tindakan pembetulan.
Sekadar menyatakan masalah berpunca daripada pihak terdahulu tidak memadai, apatah lagi jika projek itu tetap digunakan sebagai naratif pembangunan.
Prinsipnya mudah: kalau projek diwarisi dan tidak mahu diteruskan, jelaskan. Tetapi kalau diwarisi, dipromosi semula dan dijanjikan untuk disiapkan, kerajaan semasa mesti menjawab kegagalan pelaksanaannya.
—
𝟱. 𝗦𝘁𝗮𝗱𝗶𝘂𝗺 𝗞𝗲𝗱𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗗𝗔 𝗙𝗖: 𝗝𝗮𝗻𝗷𝗶 𝗯𝗲𝘀𝗮𝗿 𝗺𝗲𝘀𝘁𝗶 𝗱𝗶𝘂𝗸𝘂𝗿 𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗵𝗮𝘀𝗶𝗹
Isu stadium Kedah juga tidak boleh dipisahkan daripada kredibiliti pengumuman.
Pada 2022, wujud kenyataan bahawa stadium baharu KDA FC di Sungai Petani, bersama pusat latihan, diharapkan mampu meletakkan Kedah setaraf dengan JDT.
Namun sehingga kini, hasil yang kelihatan tidak sepadan dengan naratif besar tersebut. Malah KDA FC sendiri kemudian berdepan pelbagai masalah pengurusan, kewangan dan hukuman bola sepak.
Semakin besar janji dibuat, semakin besar tanggungjawab untuk membuktikan hasil.
Kalau sekadar sembang stadium setaraf JDT, tetapi pasukan sendiri bergelut dari sudut kewangan dan pengurusan, rakyat berhak bertanya: ini pelan pembangunan sebenar atau sekadar modal politik bola sepak?
—
𝟲. 𝗟𝗥𝗔 𝗞𝗲𝗱𝗮𝗵: 𝗜𝘀𝘂 𝗮𝘀𝗮𝘀 𝗿𝗮𝗸𝘆𝗮𝘁 𝗷𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗱𝗶𝘁𝗲𝗻𝗴𝗴𝗲𝗹𝗮𝗺𝗸𝗮𝗻 𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗽𝗿𝗼𝗷𝗲𝗸 𝗺𝗲𝗴𝗮
Dalam perbahasan projek mega, isu Loji Rawatan Air atau LRA tidak boleh diketepikan kerana ia menyentuh keperluan asas rakyat.
Sanusi sendiri pernah mengakui bahawa projek LRA Sungai Limau berdepan masalah apabila kontraktor gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan, sehingga kerajaan negeri mengambil tindakan termasuk proses penamatan kontraktor.
Projek naik taraf LRA Sungai Limau bernilai RM89.9 juta itu pula dilaporkan dilaksanakan oleh 𝗪𝗶𝗱𝗮𝗱 𝗕𝘂𝗶𝗹𝗱𝗲𝗿𝘀 𝗦𝗱𝗻 𝗕𝗵𝗱 sebagai kontraktor turnkey seperti dilaporkan Harakahdaily pada 29 Februari 2024.
Nama ini signifikan kerana Widad Builders berada dalam ekosistem kumpulan Widad yang turut dikaitkan dengan 𝗪𝗶𝗱𝗮𝗱@𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝘀𝘂𝗸𝗮 di Langkawi, projek mega yang akhirnya tidak menjadi seperti digambarkan selepas Bin Zayed International menarik diri.
Maka isu LRA ini bukan sekadar soal kontraktor lambat siap. Ia menimbulkan persoalan tentang disiplin pelaksanaan, pemilihan kontraktor dan keupayaan kerajaan negeri memantau projek kritikal.
Rakyat mahu tahu status sebenar projek, punca kelewatan, tindakan pembetulan, tarikh siap baharu dan jaminan bahawa masalah air tidak berulang.
Projek mega mungkin sedap diumum. Tetapi rakyat tetap hidup dengan isu asas seperti air.
Kalau projek air pun boleh tersangkut, kerajaan negeri tidak wajar terlalu ghairah menjual naratif projek mega tanpa membuktikan disiplin pelaksanaan projek asas.
—
𝟳. 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗷𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗦𝗲𝗹𝗮𝗻𝗴𝗼𝗿: 𝗣𝗿𝗼𝗷𝗲𝗸 𝗹𝗮𝗺𝗮 𝗯𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗱𝗶𝘀𝗶𝗮𝗽𝗸𝗮𝗻 𝗷𝗶𝗸𝗮 𝗮𝗱𝗮 𝗱𝗶𝘀𝗶𝗽𝗹𝗶𝗻
Selepas 2008, Selangor ditadbir Pakatan Rakyat dan PAS merupakan sebahagian daripada Kerajaan Negeri Selangor ketika itu.
Dalam tempoh tersebut, Kerajaan Negeri Selangor meneruskan projek 𝗝𝗮𝗺𝗯𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗴𝗮 𝗞𝗹𝗮𝗻𝗴 iaitu projek warisan atau janji BN sebelum ini. Projek itu dinilai semula, dibiayai melalui keupayaan negeri dan diteruskan untuk manfaat rakyat.
Maka persoalannya kepada Sanusi mudah.
Jika dahulu PAS boleh berada dalam kerajaan negeri yang menyelesaikan projek warisan BN seperti 𝗝𝗮𝗺𝗯𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗴𝗮 𝗞𝗹𝗮𝗻𝗴, mengapa apabila memegang jawatan Menteri Besar di Kedah, kegagalan projek sering dijawab dengan alasan pelepas diri?
Projek lama bukan alasan untuk gagal. Projek lama ialah ujian kepada kemampuan kerajaan baharu menyelesaikan masalah.
—
𝟴. 𝗔𝗸𝗮𝘂𝗻𝘁𝗮𝗯𝗶𝗹𝗶𝘁𝗶 𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗯𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗱𝗶𝗽𝗶𝗹𝗶𝗵-𝗽𝗶𝗹𝗶𝗵
Dalam tadbir urus yang baik, kerajaan tidak boleh memilih akauntabiliti secara selektif.
Tidak adil jika kejayaan dikaitkan dengan kerajaan negeri, tetapi kegagalan dikaitkan dengan kerajaan lama, pelabur, pasaran, kontraktor atau Kerajaan Persekutuan.
Sesuatu projek besar mesti dinilai melalui soalan asas:
– Adakah model kewangannya kukuh?
– Adakah pelaburnya mempunyai kapasiti sebenar?
– Adakah dana telah disahkan masuk?
– Adakah jadual kerja realistik?
– Adakah kerajaan negeri ada pelan mitigasi jika pelabur menarik diri?
Ini bukan soal dengki politik. Ini soal kerja kerajaan.
Umum projek memang mudah. Buat majlis pelancaran pun mudah. Letak angka bilion pun mudah.
Yang susah ialah memastikan projek benar-benar berjalan, siap dan memberi manfaat kepada rakyat.
—
𝟵. 𝗞𝗲𝘀𝗶𝗺𝗽𝘂𝗹𝗮𝗻: 𝗣𝗼𝗹𝗶𝘁𝗶𝗸 𝗽𝗲𝗻𝗴𝘂𝗺𝘂𝗺𝗮𝗻 𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗯𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗺𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝘂𝗹𝘂𝗶 𝗱𝗶𝘀𝗶𝗽𝗹𝗶𝗻 𝗽𝗲𝗹𝗮𝗸𝘀𝗮𝗻𝗮𝗮𝗻
Seorang Menteri Besar tidak boleh bercakap besar ketika mengumumkan projek, tetapi menyalahkan orang lain apabila projek itu tidak menjadi.
Jika mahu mengambil kredit sewaktu projek dijaja sebagai kejayaan negeri, beliau juga mesti berani memikul tanggungjawab apabila hasilnya tidak muncul.
Masalah Sanusi bukan semata-mata kerana beliau mewarisi projek lama. Masalahnya, beliau mewarisi projek lama, mengumumkannya semula dengan penuh megah, menjadikannya modal politik tetapi apabila projek itu tidak menjadi, semua kesalahan mahu dihumban kepada orang lain.
Kedah tidak memerlukan pemimpin yang hanya hebat membuka fail lama setiap kali diasak. Kedah memerlukan pemimpin yang berani menutup fail itu dengan penyelesaian.
Kerajaan bukan pentas untuk beralasan. Kerajaan ialah amanah untuk menunaikan.
Maka Sanusi wajar berhenti berlindung di sebalik naratif salah orang lain. Kalau projek diumum atas nama kerajaan negeri, maka kegagalannya juga mesti dijawab oleh kerajaan negeri.
Bercakap besar ketika melancarkan projek, kemudian cuci tangan apabila projek tidak siap, itu bukan lagak seorang Menteri Besar.
Itu lagak orang yang mahu kredit tanpa akauntabiliti.
Hidup jangan 𝗱𝗼𝘂𝗯𝗹𝗲-𝗲𝗱𝗴𝗲𝗱 𝘀𝘄𝗼𝗿𝗱.