Malaysia dijangka tidak berdepan krisis bekalan minyak dalam tempoh beberapa bulan akan datang, meskipun terdapat kemungkinan kenaikan harga bahan api susulan ketidaktentuan pasaran global.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu disokong oleh kedudukan PETRONAS yang mempunyai rekod prestasi kukuh serta jaringan hubungan baik dengan negara pengeluar minyak dunia.
Menurutnya, keupayaan syarikat petroleum negara itu mengurus rantaian bekalan dan perdagangan tenaga membantu memastikan bekalan minyak negara kekal stabil walaupun berdepan tekanan luaran.
“Pujian harus diberikan kepada PETRONAS kerana mereka mempunyai rekod cemerlang serta hubungan yang baik dengan negara pengeluar minyak,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika Sesi Perbincangan bersama Perdana Menteri pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di ibu negara, hari ini.
Pada masa sama, Anwar menjelaskan Malaysia masih mengimport sebahagian produk petroleum berikutan sifat produk tempatan yang berada dalam kategori premium dengan harga lebih tinggi.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan faktor tersebut tidak menjejaskan keseluruhan bekalan domestik.
“Justeru, kita tidak menghadapi krisis dari segi bekalan.
“Mungkin terdapat sedikit gangguan harga, tetapi bagi beberapa bulan akan datang, bekalan adalah agak terjamin,” kata Perdana Menteri lagi.
Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan berdepan masalah bekalan gas asli cecair (LNG) susulan pengeluaran besar bahan api itu oleh negara.
Selain itu, bekalan LNG dalam negara juga, katanya, disokong oleh import dari Australia yang telah lama terjalin serta kejayaan perolehan di Kanada.
Lonjakan harga
Untuk rekod, pasaran tenaga global terus bergolak susulan perang berlarutan antara Amerika Syarikat (AS) – Israel dan Iran sejak 28 Februari lalu yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan minyak mentah dunia.
Paling terjejas laluan strategik Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak global.
Ketegangan geopolitik di Timur Tengah itu telah mencetuskan lonjakan harga minyak mentah melepasi paras kritikal serta gangguan logistik mengakibatkan operasi ribuan kapal tangki terjejas.
Beberapa negara sudah mula merasai kesan krisis tenaga ini secara nyata. Antaranya, Thailand terpaksa melonggarkan kawalan harga bahan api akibat tekanan fiskal.
Filipina pula mengambil langkah drastik termasuk penutupan ratusan stesen minyak yang tidak lagi mampu beroperasi.
Kadar inflasi negara anggota Asean itu melonjak kepada 4.1 peratus pada bulan lalu sekaligus paras tertinggi dalam hampir dua tahun akibat kenaikan mendadak harga bahan api ekoran perang AS-Israel dan Iran.
Peningkatan ketara inflasi itu berlaku ketika Filipina berdepan darurat tenaga nasional akibat kebergantungan tinggi kepada import minyak.
Sementara itu, India berdepan gangguan bekalan LPG dengan kelewatan penghantaran serta peningkatan aktiviti pasaran gelap sekaligus menggambarkan tekanan terhadap rantaian bekalan domestik.
Di Pakistan dan Bangladesh, kekangan bekalan serta peningkatan kos import tenaga yang membebankan kedudukan fiskal masing-masing.
Vietnam juga tidak terkecuali apabila berlaku gangguan bekalan dan kenaikan kos operasi industri akibat harga tenaga yang melambung tinggi.






