5 April 2026
Perdana Menteri memberi isyarat bahawa PRU16 tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana kerajaan kini katanya, sedang menumpukan perhatian kepada cabaran ekonomi semasa.
Anwar Ibrahim menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah menghadapi kesan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga minyak serta keadaan ekonomi negara.
"Ini bukan soal pertarungan politik, bermusuh satu sama lain. Tidak akan ada pilihan raya dalam satu, dua bulan ini, sabar sekejap.
“Esok masa pilihan raya bertempurlah. Sekarang ini kerja. Cukuplah berpolitik, bangun, selamatkan negara kita," katanya.
Kalau kita teliti dan perhati, keadaan Anwar sekarang adalah hampir sama dengan keadaan Najib Razak sebelum PRU14 dahulu.
PRU14 diadakan pada tahun 2018 dan satu dua tahun sebelum itu sudah timbul desakan agar Naiib segera membubarkan Parlimen.
Pada waktu itu, walaupun Najib berdepan banyak isu, antaranya berkaitan Rosmah dan 1MDB, tetapi ketika itu blok pembangkang belum cukup bersatu hati.
Sementara Bersatu belum lagi didaftarkan, hubungan antara Tun Mahathir Mohamad dengan PKR/PH juga masih tidak menentu.
Dengan itu, ramai berpendapat, peluang Najib dan BN untuk menang PRU adalah cerah jika Parlimen segera dibubarkan.
Bagaimanapun, sebagaimana semua maklum, Najib enggan mengadakan pilihan raya awal dan hanya membubarkan Parlimen pada Mei 2018, iaitu di penghujung tempoh akhir lima tahun selepas PRU13.
Sebagai rekod, PRU13 juga diadakan pada bulan Mei tahun 2013.
Salah satu sebab BN tewas pada PRU14 ialah kerana Najib melewatkan tarikh pembubaran Parlimen di mana pada Mei 2018 itu isu berkaitan 1MDB sudah terlalu banyak diselongkar dan diperkatakan, selain Tun Mahathir sendiri telah berjaya memantapkan kedudukan PH dengan beliau dipersetujui sebagai calon Perdana Menteri, pembahagian kerusi dapat disekesaikan dan persetujuan menggunakan logo PKR untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut juga dapat dicapai.
Anwar pula ketika ini, walaupun berdepan banyak masalah seperti isu harga minyak, kos sara hidup dan kenaikan harga barang, kronisme dalam kerajaan yang didakwa berleluasa, serangan Rafizi Ramli, pengurusan kerajaan yang lemah dan banyak lagi, tetapi di waktu yang sama, kedudukan blok pembangkang juga masih berantakan.
Hubungan PAS dan Bersatu dalam PN masih tidak harmoni, Dr Sam belum lagi membuktikan kewibawaannya sebagai Pengerusi PN, Hamzah Zainuddin dan kumpulannya baru dipecat daripada Bersatu serta masih dalam proses menubuhkan rumah baru, manakala kedudukan Rafizi pula tidak menentu sama ada mahu menubuhkan parti baharu dan menjadi blok ketiga atau bekerjasama dengan PN.
Dalam keadaan itu, Anwar tentunya sedar keadaan PN dan blok pembangkang yang tidak solid sekarang adalah kelebihan baginya jika PRU16 dipanggil dengan segera.
Tetapi, kenapakah beliau memberi bayangan bahawa PRU16 tidak akan diadakan dalam waktu terdekat ini?
Adalah dipercayai Anwar sedang cuba bermain strategi melengah-lengahkan PN dan blok pembangkang supaya mereka tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.
Maknanya beliau sengaja mengatakan tiada pilihan raya dalam waktu terdekat, walhal perkiraan dalam hatinya adalah berbeza.
Harapannya ialah jika beliau membubarkan Parlimen secara mengejut dalam dua tiga bulan akan datang, contohnya mengadakan PRU16 serentak dengan PRN Melaka, semua parti pembangkang akan terkejut dan keadaan itu mampu memberi kelebihan kepada PH.
Berbanding jika melewatkan tarikh mengadakan PRU16 sehingga November 2027 (tarikh penghujung kerana PRU15 sebelum ini diadakan pada November 2022), peluang PH untuk menang akan bertukar menjadi tipis.
Ini kerana pada waktu itu, ekonomi mungkin bertambah tenat, Anwar tentunya tambah ditolak dan masalah berkaitan Hamzah, Rafizi serta PN, kalau pun tidak sepenuhnya, tetapi sebahagian besarnya telah berjaya diselesaikan.
Oleh itu, potensi Anwar dan PH untuk beroleh keputusan yang lebih baik ialah dengan mengadakan pilihan raya lebih awal, bukan melewatkannya.
Lagi lambat diadakan pilihan raya, lagi sukar untuk Anwar dan PH menggapai kemenangan, malah banyak kerusi Parlimen akan hilang.
Jadinya, meski pun Anwar menghantar isyarat tiada pilihan raya akan diadakan pada terdekat, Dr Sam dan PN khususnya, hendaklah sentiasa berwaspada.
Segera selesaikan apa juga masalah, perkukuh jentera dan persiapan serta pastikan PN benar-benar bersedia untuk menjadi kerajaan, tak kira cepat atau lambat Awar membubarkan Parlimen. - ShahbudinHusin 05April2026.
#bubarparlimenjawapankerajaangagal
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1253887176734399&id=100063393840098