Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak ada kompromi terhadap pelanggaran amanah termasuk isu salah guna kuasa membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia.
Perkara itu disampaikan beliau kepada Panglima Tentera Darat baharu, Datuk Azhan Md Othman dalam pertemuan antara mereka hari ini.
Perdana Menteri menekankan, kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara ini tidak boleh dibina dengan slogan semata-mata.
Sebaliknya kata beliau, mesti diperkukuh melalui profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas serta konsisten dalam setiap lapisan pentadbiran dan operasi
“Dalam konteks cabaran semasa, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi, saya menekankan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah lantas menuntut ketelusan, kejujuran dan keberanian untuk membersihkan kelemahan demi memelihara maruah Angkatan Tentera Malaysia.
“Kerajaan MADANI akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani, di samping memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam catatan di Facebook.

