
PMX petik hadis Nabi SAW. Baginda siap sebut, kalau Fatimah, anak Baginda sendiri mencuri, hukuman tetap dilaksanakan. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 11 Nov – Nabi SAW dah beri amaran lebih 1,400 tahun dahulu. Umat terdahulu hancur sebab orang besar mencuri dilepaskan, orang kecil mencuri dihukum.
PMX petik hadis Nabi SAW. Baginda siap sebut, kalau Fatimah, anak Baginda sendiri mencuri, hukuman tetap dilaksanakan.
Jelas. Tak perlu pusing sampai pening kepala.
Tapi tengoklah politik hari ini. Marhaen curi susu, curi beras, curi barang kedai, terus orang bercakap tentang hukuman. Bila VIP terlibat dalam penyelewengan berbilion ringgit, tiba-tiba keluar cerita jasa, pengorbanan, kesian keluarga dan peluang kedua.
Siap kutip derma puluh-puluh juta untuk bayar denda. Bukan main laju duit masuk. Kalau tabung bantu orang miskin pun macam ini, agaknya tak menang tangan pusat zakat.
Yang lebih menghairankan, agamawan politik pun sibuk bagi cop halal kepada penyakau. Dulu bergegar pentas ceramah perjuangkan hudud. Bila melibatkan geng politik sendiri, lain pula bunyi ceramahnya.
Dulu pencuri mesti dihukum. Sekarang orang yang sudah disabitkan kesalahan pun boleh diraikan macam pejuang baru balik berjihad.
Bukan salah nak mohon pengampunan. Tetapi jangan sampai pengampunan dijadikan alasan untuk memutihkan kesalahan. Mahkamah dah buat keputusan, tiba-tiba penyokong pula mahu buat keputusan sendiri siapa patut dianggap suci.
Paling pelik, ada yang cukup pantas mencari dalil untuk mempertahankan tokoh politik, tetapi apabila bercakap tentang keadilan kepada rakyat biasa, dalil yang sama entah ke mana hilangnya.

Nabi SAW beri amaran umat binasa apabila keadilan memilih bulu. Agamawan politik pula jangan sampai lebih sibuk menjaga bulu penyakau daripada menjaga prinsip agama.
Kalau hukum agama hanya keras kepada orang miskin tetapi boleh dilentur untuk orang berpengaruh, apa sebenarnya yang sedang diperjuangkan? Agama atau kepentingan politik?
Oleh Ahmad Mursi



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.