MESEJ BUAT PARTI DALAM KERAJAAN.

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghantar mesej keras kepada menteri Kabinet yang mengkritik kerajaan perpaduan ketika berkempen pada PRN Melaka. 






Beliau mencabar mereka supaya tidak sekadar menyerang rakan sendiri di pentas politik, sebaliknya membawa segala rungutan dan ketidakpuasan hati ke meja mesyuarat Kabinet.


“Kalau setuju, tak setuju, kita cakap dalam Kabinet kita. Esok pagi 9 pagi mesyuarat… tiga jam. Cakaplah. Ini politik baru,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Harapan di Dewan Pay Fong. 


Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berada di Melaka bagi membantu kempen parti itu menjelang PRN 14 November.


Teguran itu bukan kali pertama dilontarkan Anwar. 


Beliau sebelum ini turut membidas pemegang jawatan persekutuan yang menggunakan kedudukan mereka untuk mengkritik rakan dalam kerajaan perpaduan ketika kempen PRN Negeri Sembilan pada Ogos lalu. 


Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN, ketika itu membalas bahawa Anwar boleh memecat menteri BN sekiranya tidak berpuas hati dengan mereka.


Lebih menarik, PH dan BN kali ini tidak bekerjasama dalam PRN Melaka walaupun kedua-duanya masih berada dalam kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan. 


BN sebaliknya membentuk pakatan pilihan raya bersama Perikatan Nasional (PN), sekali gus memperlihatkan percaturan politik yang berbeza antara pentas negeri dan pusat. 


Cabaran Anwar itu kini meletakkan persoalan disiplin serta kesepakatan dalam Kabinet kembali menjadi perhatian.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.