
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 di Hyatt Regency Kuala Lumpur pada 26 November 2026.
KUALA LUMPUR, 26 Nov – Isu pelarian dari Myanmar mampu diselesaikan menerusi penghantaran pulang ke negara asal secara berperingkat disebabkan hubungan baik Malaysia dengan negara berkenaan, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, isu pelarian walau di mana sahaja tidak mungkin dapat diselesaikan hanya menerusi campur tangan badan antarabangsa atau negara ketiga, sebaliknya memerlukan rundingan secara langsung dengan kerajaan Myanmar itu sendiri.
Hasil rundingan dan pendekatan diplomasi itu membawa kejayaan apabila kira-kira 10,400 rakyat negara itu dihantar pulang setakat ini, manakala ribuan lagi sedang diatur untuk proses penghantaran pulang selepas isu berkenaan berlarutan puluhan tahun tanpa penyelesaian.

“200,000 rakyat Myanmar di Malaysia tidak akan diselesaikan badan antarabangsa dan negara asing. Betapa hebat pun mereka berbicara, kita terpaksa menyelesaikannya sendiri.
“Jadi kita runding dengan baik dengan Kerajaan Myanmar dan setakat ini sekitar 10,400 sudah dibawa keluar, manakala ribuan lagi telah diatur untuk dibawa pulang,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan perkara itu ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 di sini, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan turut membangkitkan aspek keselamatan pelarian yang dihantar pulang dalam rundingan bersama pihak berkuasa Myanmar bagi mendapatkan jaminan keselamatan mereka.
Jaminan berkenaan membolehkan Malaysia memantau keadaan rakyat Myanmar yang dihantar pulang bagi memastikan keselamatan mereka terus diberi perhatian.
“Jadi bila ada jaminan itu, bolehkah kita pantau dari jauh? Jawabnya boleh. Kita bukan menyerahkan mereka dipancung” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.