Sanusi Mahu Agihan Pembangunan Lebih Seimbang Untuk Empat Negeri Melayu
ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan digesa memastikan agihan pembangunan dan peruntukan dibuat secara lebih seimbang dengan memberi perhatian kepada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembangunan negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya memberi tumpuan kepada wilayah atau kawasan tertentu.
Menurutnya, negeri yang mempunyai majoriti penduduk Melayu juga perlu diberikan peluang lebih besar untuk menarik pelaburan, memperluas aktiviti ekonomi serta membangunkan potensi masing-masing.
Beliau berkata, pendekatan pembangunan yang adil penting bagi memastikan setiap kelompok masyarakat dapat menikmati kemajuan negara tanpa mengira latar belakang kaum.
"Setiap lapisan masyarakat perlu diberikan peluang yang sama untuk maju dan menikmati hasil pembangunan negara. Perkara ini juga penting bagi mengekalkan kestabilan serta memperkukuh perpaduan rakyat," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, hari ini.
Sanusi turut menyentuh isu ketidakseimbangan pembangunan bandar, khususnya berkaitan pola penempatan penduduk, pemilikan kekayaan dan penguasaan ekonomi yang menurutnya perlu ditangani melalui dasar lebih inklusif.
Beliau berpandangan, sekiranya perkara itu tidak diberikan perhatian, perubahan demografi dalam jangka panjang boleh turut memberi kesan terhadap komposisi pengundi dan landskap politik negara.
Dalam perkembangan sama, beliau membangkitkan cadangan pelaksanaan pilihan raya perbandaran oleh parti politik tertentu yang menurutnya perlu diteliti supaya tidak menambahkan jurang ketidakseimbangan dalam masyarakat.
Katanya, kepentingan masyarakat pribumi perlu terus dilindungi, namun pada masa sama hak dan peluang kaum lain juga mesti dipastikan terpelihara.
Beliau menegaskan bahawa sebarang dasar berkaitan kepentingan masyarakat perlu dilaksanakan secara adil, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.
Menurutnya, keharmonian negara bergantung kepada komitmen semua pihak untuk memastikan tiada masyarakat berasa tersisih atau dinafikan hak dalam menikmati pembangunan.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.