Integriti penjawat awam yang menjalankan amanah penguatkuasaan perlu dipertahankan, namun sebarang dakwaan salah laku juga wajar disiasat berdasarkan fakta dan undang-undang, kata ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Beliau berkata prinsip itu perlu menjadi pegangan dalam menilai video tular membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
“Bagi saya, perkara paling penting ialah kita mesti menyokong penjawat awam yang berani menjalankan amanah dengan benar serta menolak rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Video berkenaan tular selepas memaparkan Mohd Shuhaily ketika menjalankan operasi penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu. AKPS mengesahkan rakaman itu adalah daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) KLIA Terminal 1.
Menurut Hafidzah, pada masa sama, sekiranya benar rakaman tersebut dibuat atau diperoleh tanpa kebenaran ketika proses pemeriksaan di ruang terkawal, perkara itu juga perlu disiasat.
“Kerahsiaan dan integriti sesuatu operasi penguatkuasaan perlu dihormati,” katanya.
AKPS sebelum ini memaklumkan laporan polis dibuat berhubung rakaman dan penyebaran video berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan, termasuk bagaimana rakaman itu diperoleh dan kemudiannya tersebar.
Mohd Shuhaily pula berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan bersedia menerima sebarang keputusan kerajaan berhubung insiden tersebut.
Hafidzah berkata laporan polis yang telah dibuat membolehkan siasatan menentukan fakta sebenar serta tanggungjawab setiap pihak tanpa membuat kesimpulan awal.
“Yang benar kita pertahankan.
“Yang salah kita tegur.
“Yang berintegriti kita lindungi.
“Undang-undang mesti berlaku adil kepada semua,” katanya.
Menurutnya, penjawat awam perlu diberi ruang untuk menjalankan amanah dengan tegas dan berani, terutama dalam usaha membanteras rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.
Pada masa sama, katanya, institusi penguatkuasaan juga perlu berdiri bersama penjawat awam yang melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti.
“Kita mahu penjawat awam berani kerana benar, dan institusi yang berdiri bersama mereka apabila mereka menjalankan amanah dengan penuh integriti,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.