
Sidang media Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan mengambil tindakan tatatertib terhadap Bersatu tidak membawa sebarang manfaat menjelang PRN Melaka. Foto: Zharif Zul
PENDAPAT, 26 Okt – Keputusan Perikatan Nasional (PN) memulakan tindakan disiplin ke atas Bersatu atas dakwaan kononnya parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu bertindak bertentangan dengan kepentingan gabungan, berisiko membawa kesan lebih buruk kepada pembangkang, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, menyatakan tindakan itu mengikut Fasal 15 Perlembagaan PN dengan notis dihantar tidak lama lagi dengan antara hukumannya sama ada amaran, penggantungan atau berdepan pemecatan.
Di saat PN sedang bergelut mempertahankan kewujudannya selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran gabungan itu, dan kes tersebut kini di mahkamah, tindakan tersebut bukan dilihat menjernihkan, bahkan lebih memberi isyarat perang masih belum tamat.

Peguam PN sendiri menegaskan keputusan itu jelas menjejaskan keupayaan bertanding dengan nama dan logo gabungan dalam PRN Melaka menambah lagi kemelut pertikaian dalaman pada saat ini termasuk menjejaskan keyakinan pengundi.
Ini suuslan daripada keputusan Pas memutuskan hubungan politik dengan Bersatu pada 8 Jun, dan pada 7 Ogos pemimpin Bersatu mengumumkan gabungan baharu yang menurut Presiden Pas menyebabkan keahlian Bersatu gugur secara automatik.
Ahmad Samsuri Mokhtar pula menyatakan Bersatu kekal sebagai anggota PN namun dengan kedudukan yang tidak jelas, tindakan disiplin berisiko mencetuskan pertikaian undang-undang dan mengelirukan penyokong.

Makan sudah pasti tindakan PN menghadapi PRN Melaka akan terjejas walau apa pun bentuk tindakan terhadap Bersatu. Ini kerana pengundi dan jentera parti berdepan persoalan siapa mewakili PN yang hanya akan ditentukan pada 29 Oktober depan sementara BN dan PH sudah mengumumkan calon kelmarin.
“Bersatu juga boleh memilih untuk tidak menjawab pertuduhan berkenaan, tetapi tindakan itu seolah-olah mereka mengakui semua pertuduhan terhadap parti berkenaan. Keputusan mengenai tindakan selanjutnya akan dibuat dalam mesyuarat PN akan datang,” dakwa Takiyuddin.
Takiyuddin mendakwa Bersatu menjadi punca pendaftaran gabungan dibatalkan, manakala Annuar Musa menggesa Bersatu hadir mesyuarat dan bersama-sama bertanding pada PRN Melaka.

Perlembagaan PN juga menetapkan keperluan memperolehi persetujuan sebulat suara presiden parti gabungan bagi sebarang pemecatan, yang menyukarkan hukuman paling berat.
Walaupun PN berhak mengambil tindakan ke atas Bersatu tetapi bukan hanya Bersatu yang patut dipersalahkan, sebaliknya Pas sendiri menunjukkan hipokrasi tertinggi membeza-bezakan layanan terhadap parti-parti dalam gabungan itu.
Maka sudah tentulah PN tidak boleh bertelagah sesama sendiri dalam kemelut menyusun calon-calon yang akan bertanding namun yang lebih penting, keyakinan pengundi Melaka terhadap PN semakin lama semakin menipis.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.