Usai solat Jumaat di Masjid Abdullah Zubair, Sungai Besi, PMX terus meninjau tapak bekas Kuarters TUDM yang terletak bersebelahan dengan masjid.
Di kawasan seluas 10 ekar itu, sebanyak 160 unit kediaman akan dibaik pulih dan diperuntukkan khas kepada golongan profesional muda Melayu yang bekerja di ibu kota.
Kediaman berkenaan dijangka boleh didiami menjelang 2027.
Tinjauan kali ini juga membawa makna tersendiri kerana ia berkait dengan komitmen kerajaan untuk mewartakan 50 ekar Tanah Rizab Melayu di Bandar Malaysia, yang diumumkan PMX ketika Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.
Kini, komitmen tersebut diteruskan melalui pembangunan di kawasan berkenaan.
Tapak seluas 10 ekar ini menjadi fasa pertama, dengan tumpuan diberikan kepada penyediaan kediaman untuk golongan profesional muda Melayu yang bekerja di Kuala Lumpur.
Dalam perkongsian itu, PMX turut menegaskan bahawa usaha Kerajaan MADANI untuk memperluas peluang pemilikan kediaman dan memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu serta Bumiputera tidak seharusnya menjejaskan hak dan peluang kaum lain.
Matlamatnya ialah supaya kemakmuran Kuala Lumpur dapat dinikmati bersama secara adil.
Tanah yang bernilai di tengah-tengah ibu kota dipelihara, sementara golongan muda pula diberi ruang untuk memiliki kediaman dan membina masa depan di Kuala Lumpur.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.