“SAYA PUN GURU, KALAU ORANG PANGGIL SAYA GURU, SAYA BANGGA!” — ANWAR BUAT PARLIMEN TERSENYUM

 




KUALA LUMPUR — Dewan Rakyat hari ini sekali lagi menyaksikan istilah “guru” mencuri perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh mengakui beliau sendiri seorang guru dan berbangga jika dipanggil dengan gelaran tersebut.
“Saya pun guru, kalau orang panggil saya guru, saya bangga!” katanya ketika menjelaskan isu berkaitan guru dan pendidikan dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Parlimen hari ini.
Kenyataan itu mungkin kedengaran biasa dalam konteks pendidikan, namun bagi pemerhati politik, perkataan “guru” mempunyai sejarahnya yang tersendiri antara Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Istilah itu sebelum ini menjadi perhatian susulan rakaman audio perbualan yang dikaitkan dengan kedua-dua pemimpin berkenaan pada 2021, termasuk penggunaan panggilan “cikgu” terhadap Anwar. Ahmad Zahid kemudiannya mengakui suara beliau terdapat dalam rakaman berkenaan.
Lebih menarik, isu “guru” kembali mendapat nafas baharu apabila Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026 menggunakan istilah tersebut ketika menyampaikan kritikan politik, sebelum Anwar pula membalas secara berseloroh dengan menggelarkan dirinya “guru” dalam hantaran media sosial.
Justeru, apabila Anwar hari ini dengan selamba menyebut beliau “bangga” dipanggil guru, ia tentunya mengundang senyuman dan mungkin membuat sesetengah ahli politik teringat kembali kepada episod lama yang pernah menghangatkan hubungan kedua-dua pemimpin itu.
Dari Tambun ke Bagan Datuk, nampaknya kisah “guru dan anak murid” ini masih belum habis silibusnya.
Bezanya, kali ini ia tidak muncul daripada rakaman audio yang bocor atau pentas perhimpunan parti, sebaliknya keluar secara terbuka di Dewan Rakyat — siap dengan pengakuan Perdana Menteri sendiri bahawa menjadi guru bukan sesuatu yang perlu dimalukan.
Mungkin selepas ini tidak perlu lagi bertanya siapa guru dan siapa anak murid.

Cukup sekadar melihat siapa yang masih rajin memanggil “guru” — kerana nampaknya orang yang dipanggil itu sendiri sudah mengaku: “Saya bangga!”



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.