12 Oktober 2026
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri Melaka kerana meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan penambahan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan di negeri itu.
Khoo berkata, beliau mengemukan saman tersebut atas kapasitinya sebagai seorang pengundi di Melaka, manakala Adly atas kapasiti sebagai Adun Bukit Katil.
Katanya, saman berkenaan dibuat untuk mencabar usul pindaan enakmen itu yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita harap mahkamah akan buat satu keputusan di mana kita melihat usul yang diluluskan pada 14 Julai tersebut adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 71(4) Perlembagaan Persekutuan di mana kalau dibaca bersama dengan Seksyen 4(1) Bahagian 1 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah batal dan tidak sah menurut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu sidang media.
Pada 14 Jul lalu, DUN Melaka meluluskan usul RUU Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan penambahan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan di negeri itu.
Usul yang dibentangkan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh itu disokong 23 Adun termasuk tiga wakil pembangkang, kecuali lima wakil PH yang tidak menyokong usul tersebut.
Khoo seterusnya berkata, pihaknya pada hari ini turut menyerahkan notis saman itu kepada setiausaha kerajaan negeri dan juga kepada penasihat Undang-Undang Negeri Melaka dan meminta supaya mahkamah membuat satu keputusan bahawa usul ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan negeri.
Berikutan saman ini dikemukakan menjelang PRN Melaka dan PKR khususnya, masih menaruh harapan untuk bekerjasama dengan BN, termasuk Perdana Menteri sendiri sanggup menghantar kek dan menyanyi meraikan hari jadi Ketua Menteri Melaka baru-baru ini, ruang untuk bekerjasama antara keduanya ternampak boleh dikira sudah tertutup.
Sebagaimana diketahui juga, DAP memang menolak bulat-bulat untuk bekerjasama dengan BN, tetapi Pengarah Pilihan Raya PKR, Amirudin Saari sentiasa menaruh harapan untuk bekerjasama.
Anwar pula dengan kesanggupan meraikan hari jadi Ab Rauf Yusoh, turut dilihat sealiran dengqn Amirudin.
Tetapi, berikutan saman itu, tidak mungkin lagi kerjasama politik antara PH dan BN dapat dijalinkan selepas ini.
Dalam hal ini, DAP nampaknya lebih awal menutup terus ruang kerjasama itu, walaupun hari penamaan calon hanya diadakan 31 Oktober ini.
Maka, besar kemungkinan PH akan bertanding pada PRN Melaka yang diadakan 14 November depan dengan bekerjasama dengan pihak lain, khususnya Bersatu yang sudah tersisih daripada PN serta diberikan talak oleh PAS.
Bersatu baru-baru ini telah mengumumkan akan bertanding di PRN Melaka akan datang ini menggunakan logo sendiri, tetapi belum menetapkan jumlah kerusi yang ingin ditandingi.
Bagaimanapun, laporan lain mengatakan Bersatu bersedia untuk bertanding sekitar 10 kerusi saja.
Dengan itu, PH yang digambarkan lebih disokong bukan Melayu berbanding pengundi Melayu, adalah sesuai sangat untuk mereka bekerjasama dengan Bersatu yang merupakan sebuah parti Melayu.
Bagi UMNO/BN dan PAS/PN, perbincangan untuk bekerjasama menghadapi PRN Melaka masih lagi berjalan.
Jika rundingan kerjasama itu berjalan lancar, persaingan PRN Melaka nanti hampir pasti menyaksikan pertembungan PH/Bersatu melawan BN/PN.
Berapa peratus agaknya PH/Bersatu ada harapan untuk beroleh kemenangan? - ShahbudinHusin 12Oktober2026.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.