Umno didakwa membeli kesetiaan melalui sumbangan, Pas pula memanfaatkan imej agama, sementara DAP dijadikan ‘hantu’ untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.
Politik ‘sakau’ dan ‘pukau’ menjadi sindiran Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, terhadap pendekatan Umno dan Pas yang menurutnya terus memanfaatkan rasa terhutang budi, sentimen agama dan ketakutan terhadap DAP untuk mengekalkan sokongan Melayu.
Beliau mendakwa Umno membina kesetiaan melalui pemberian sumbangan, manakala Pas pula menggunakan imej agama untuk meyakinkan penyokong bahawa pemimpin mereka tidak mungkin menipu.
Namun, kedua-dua pendekatan itu, katanya, turut bergantung pada naratif yang menggambarkan DAP sebagai ancaman kepada orang Melayu.
“Mungkin satu pihak itu bersendikan ‘sakau’ dan satu pihak lagi bersendikan ‘pukau’. Tapi sakau dengan pukau ini tak boleh menang pilihan raya kalau tidak ada isu yang membayangi dan menakut-nakutkan orang Melayu dengan menjadikan DAP sebagai hantu untuk memomok-momokkan mereka,” katanya dalam program Bicara Khalid Samad terbitan Jom Channel.
Khalid mendakwa Umno menggunakan pemberian sumbangan untuk membina rasa terhutang budi dalam kalangan masyarakat, khususnya di kampung, sehingga bantuan yang diterima menjadi asas kesetiaan politik.
“Orang Melayu nampak macam Umno ini di kampung banyak bagi sumbangan. Dia ‘sakau’, yang 90 peratus dia simpan, 10 peratus dia guna untuk membeli penyokong supaya orang Melayu ini berterima kasih,” katanya.
Beliau turut mengaitkan sentimen mengenang jasa itu dengan usaha mengumpulkan wang bagi membantu bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk membayar denda yang dikenakan terhadapnya.
Menurut Khalid, rasa terhutang budi terhadap sumbangan yang pernah diterima boleh mendorong penyokong terus mempertahankan pemimpin, meskipun manfaat yang dirasai mereka hanya sedikit.
Jika Umno dikritik kerana politik sumbangan, Pas pula disindir kerana memanfaatkan imej agama untuk membina kepercayaan penyokong.
“Pas pula dengan imej bahawa pintu syurga, kuncinya ada di tangan mereka. Maka orang Melayu pun yakin bahawa Pas ini takkanlah, apa dia katakan, takkan lebai menipu,” katanya.
Khalid mempersoalkan kepercayaan yang meletakkan pemimpin berimej agama seolah-olah tidak mungkin melakukan kesalahan, sedangkan pendirian dan tindakan politik tetap perlu dinilai secara kritikal.
Bagi Khalid, sentimen terhutang budi dan imej agama menjadi lebih berkesan apabila digabungkan dengan naratif bahawa DAP mengancam kepentingan orang Melayu.
Beliau mendakwa gambaran sedemikian membantu Umno dan Pas mengekalkan sokongan pengundi tanpa perlu berdepan sepenuhnya dengan persoalan mengenai prestasi serta sumbangan sebenar mereka.
“Dengan menggunakan mitos ini dan hantu ini, mereka dapat kekalkan undi Melayu bersama mereka walaupun mereka tak buat apa-apa,” katanya.
Sindiran Khalid itu meletakkan persoalan tentang sejauh mana pengundi membuat pilihan berdasarkan rekod dan hasil kerja parti, berbanding rasa terhutang budi, kepercayaan terhadap imej agama dan ketakutan terhadap pihak lawan.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.