
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2026 bertemakan ‘Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi’. Foto PMO
PENDAPAT, 10 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2026.
Ini merupakan belanjawan kelima Kerajaan MADANI dan yang kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bertemakan ‘Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi’. Berikut merupakan rumusan pengumuman utamanya.
1. Saiz belanjawan.
Perbelanjaan Persekutuan berjumlah RM459.8 bilion, iaitu RM376.8 bilion belanja mengurus dan RM83 bilion belanja pembangunan. Jika pelaburan GLIC (RM25 bilion), awam-swasta (RM11 bilion) serta badan berkanun dan syarikat MKD (RM14.2 bilion) dimasukkan, jumlah keseluruhannya mencecah RM510 bilion.
2. Bantuan tunai.
Peruntukan STR dan SARA dinaikkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion tahun ini. Semua penerima STR, kira-kira sembilan juta orang, menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun. Rakyat berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR mendapat SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali, sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan 70 tahun kemerdekaan.
3. Subsidi dan insentif.
Kerajaan menyediakan lebih RM80 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif. Subsidi bahan api dianggar kekal tinggi pada RM40 bilion, dan hampir RM3.3 bilion untuk bantuan JKM. Peruntukan Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI naik daripada RM630 juta kepada RM750 juta.
4. Gaji minimum.
Naik daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 memberikan pendapatan lebih besar buat jutaan pekerja sambil majikan boleh melakukan persediaan bagi menyerap impak daripada peningkatan kos operasi.
5. Cukai individu.
Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, kali pertama disemak sejak 2010. Kadar cukai bagi dua banjaran pendapatan pertengahan dikurangkan, dan kadar bagi pendapatan melebihi RM1 juta diselaraskan kepada 30 peratus.
6. PMKS dan usahawan.
Kadar cukai ke atas RM150,000 pertama dikurangkan kepada 14 peratus, manakala RM150,000 hingga RM600,000 kepada 16 peratus. Pembiayaan mikro berjumlah RM6.6 bilion (AIM RM3 bilion, TEKUN RM1.3 bilion, BSN RM1.7 bilion), tambahan RM5 bilion BNM untuk PKS yang terkesan konflik Asia Barat, dan RM1 bilion pembiayaan eksport. Sewa premis DBKL dipotong 50 peratus sepanjang 2027 untuk lebih 10,000 peniaga kecil. Pengecualian cukai bagi pelabur ECF dilanjutkan hingga 2030.
7. Kontraktor Bumiputera.
Perolehan kerajaan untuk kontraktor G1 hingga G4 dinaikkan kepada RM7.5 bilion daripada RM4 bilion. Ini memberi lebih banyak peluang memulihkan aliran tunai kontraktor tertakluk kepada syarat dan tatakeloa ketat yang diselaraskan Kementerian Kewangan.
8. Pendidikan dan kesihatan.
KPM menerima RM69 bilion, dengan RM2 bilion untuk pembaikan sekolah (RM1 bilion pada 2026) dan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak. KKM menerima hampir RM48 bilion (RM47.7 bilion), manakala Kementerian Pertahanan dan KDN masing-masing RM22 bilion.
9. Sabah dan Sarawak.
Peruntukan Persekutuan dinaikkan kepada RM18.7 bilion untuk Sabah dan RM16.2 bilion untuk Sarawak. Peningkatan besar ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bagi mengurangkan kesenjangan pembangunan dengan Semenanjung.
10. Subsidi bersasar.
Anwar menyatakan subsidi bersasar menjimatkan ketirisan, dengan rekod September menunjukkan kurang 1 peratus pengguna BUDI95 menggunakan sepenuhnya kuota 300 liter.
11. Pekerja gig dan bekerja sendiri.
Kerajaan bersama Grab membiayai pakej bernilai RM160 juta mulai 2027 untuk meningkatkan pendapatan bersih dan kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing. Insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus ditawarkan kepada pekerja e-hailing dan p-hailing, manakala kadar 70 peratus disediakan kepada lebih 200,000 individu bekerja sendiri.
Pemandu e-hailing dan p-hailing juga menikmati caruman padanan KWSP sehingga RM600 setahun atau maksimum RM6,000 sepanjang hayat. Pelepasan cukai tambahan sehingga RM150 diberikan bagi caruman sukarela di bawah Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.
12. Pelancongan dan budaya.
RM935 juta diperuntukkan untuk sektor ini. Had pembelian bebas cukai bagi pelawat dan pelancong di Langkawi serta Labuan dinaikkan kepada RM10,000, tertakluk kepada penginapan minimum 48 jam. Lebih banyak produk buatan tempatan di Langkawi turut diberikan pengecualian duti import. Peruntukan juga merangkumi penambahbaikan prasarana jeti dan pemuliharaan tapak warisan.
13. Mahasiswa dan belia.
RM750 juta disediakan untuk membina kediaman mahasiswa. Subsidi tiket penerbangan FlySiswa MADANI dinaikkan kepada RM500 pada 2027, dalam bentuk baucar digital yang boleh ditebus melalui syarikat penerbangan domestik yang mengambil bahagian seperti Malaysia Airlines dan AirAsia.
Program BAKAT MADANI pula menyasarkan 30,000 peluang pekerjaan baharu pada 2027, termasuk melalui penyertaan syarikat swasta.
14. Kebajikan dan perlindungan pekerja.
Penanda aras gaji sara hidup GLIC dan GLC dinaikkan kepada RM3,400 daripada RM3,100, memanfaatkan 230,000 pekerja. Lebih 9,000 doktor kontrak ditawarkan jawatan tetap bagi 2027. Bantuan baik pulih rumah mangsa bencana digandakan kepada RM10,000 daripada RM5,000, dan ambang bankrap dinaikkan kepada RM150,000 daripada RM100,000 mulai 2027.
Cukai perkhidmatan jagaan warga emas diturunkan daripada 8 peratus kepada 6 peratus, dengan pengecualian penuh bagi yuran jagaan sehingga RM96,000 setahun. Menurut laporan, bantuan one-off RM1,000 turut diumumkan untuk 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah.
15. Infrastruktur dan pembangunan asas.
RM2.5 bilion diperuntukkan untuk menggantikan paip usang dan memperluas liputan internet JENDELA. Bantuan kepada pesawah berjumlah RM2.62 bilion bagi meningkatkan pengeluaran padi, hampir RM1 bilion untuk Projek Perumahan Rakyat, dan RM2.3 bilion untuk membina serta menyelenggara kuarters penjawat awam.
16. Muktamad JS-SEZ
Bagi kawasan sempadan, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dikaitkan dengan pelaburan RM132 bilion, dengan Pelan Induknya dijadual dilancarkan bersama Singapura hujung tahun ini.
Ini akan merancakkan serta menjelaskan hala tuju skop dan pelaksanaan koridor ekonomi penting bagi kedua-dua negara.















No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.