
Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat perpisahan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing di Putrajaya pada 1 Oktober 2026. Foto Pejabat Perdana Menteri
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing atas komitmen dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.
Penghargaan tersebut disampaikan Perdana Menteri ketika menerima kunjungan hormat perpisahan Ouyang di pejabatnya di Putrajaya hari ini, yang dikongsikan menerusi hantaran di media sosial.

Menerusi hantaran itu, Anwar berkata, Malaysia dan China telah membina jalinan yang kukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, teknologi, pendidikan dan kebudayaan.
Ini termasuk kerjasama strategik seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), teknologi 5G, kecerdasan buatan, pelabuhan dan industri nadir bumi turut membuka ruang baharu untuk manfaat bersama.

“Kedua-dua negara akan terus memperkukuh persahabatan dan kerjasama yang telah sekian lama terjalin, serta meneroka bidang-bidang baharu demi kepentingan rakyat, keamanan dan kemakmuran rantau,” ujar Anwar.
Pada pertemuan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menerima bingkisan khas daripada Perdana Menteri China, Li Qiang merangkumi koleksi buku-buku mengenai Hangzhou yang dilawatinya, juga merupakan kampung halaman pemimpin berkenaan, baru-baru ini.

“Saya amat menghargai ingatan dan perhatian tersebut,” ujar Anwar lagi.
Untuk rekod, Anwar melakukan lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou bermula 22 hingga 24 September lalu atas undangan rakan sejawatnya.

Lawatan itu memberi tumpuan kepada dua agenda utama iaitu menghadiri Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 di Shanghai dan Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) di Hangzhou.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.