Pengumuman calon PRN Melaka, Umno-Pas dah tak sepentas

 


Belum pun sehari Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan BN dan Pas akan berkongsi pentas untuk memperkenalkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pemimpin kanan Pas tampil memberikan kenyataan berbeza.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan partinya akan mengumumkan calon bersama BN seperti yang diumumkan Zahid, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penyelarasan antara kedua-dua parti menjelang pilihan raya itu.

“Setakat ini tidak. Kita akan umum pada minggu-minggu akhir, sama ada 28 atau 29 hari bulan,” katanya pada sidang media di Kota Bharu.

Sebelum itu, Zahid berkata BN, Pas dan rakan strategik mereka akan memperkenalkan calon masing-masing pada hari ini, 24 Oktober, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

“Insya-Allah di pentas yang sama dan di dewan yang sama kita akan umumkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat BN di Melaka.

Tuan Ibrahim berkata Pas sebelum ini memberi ruang kepada BN untuk mengumumkan calon terlebih dahulu sebelum partinya memperkenalkan senarai calon sendiri.

Penafian itu menyusul kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang  memaklumkan pembahagian 21 kerusi kepada BN dan tujuh kerusi kepada Pas serta rakan gabungannya masih belum dimuktamadkan.

Perbezaan kenyataan daripada dua pemimpin kanan Pas dalam tempoh singkat itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana persetujuan antara BN dan Pas telah dicapai, khususnya berkaitan pembahagian kerusi dan pengumuman calon.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menegaskan kerjasama antara parti-parti terbabit perlu diteruskan dengan baik menjelang PRN Melaka.

Dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, BN dan Pas kini berdepan keperluan menyelaraskan pendirian masing-masing bagi mengelakkan percanggahan kenyataan terus membayangi kerjasama politik mereka.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.