Bila KWAP melabur dalam kediaman pelajar di United Kingdom, itu sebahagian daripada strategi pelaburan hartanah. Tapi bila diumumkan pelaburan RM750 juta untuk kediaman mahasiswa di Malaysia, terus timbul persoalan tentang pulangan dan fungsi KWAP.
Haa, kita tengok fakta dulu.
Dalam Laporan Tahunan KWAP 2020, ada empat hartanah kediaman pelajar di UK yang direkodkan. Dua dibeli pada 2018, dua lagi pada 2020. Lokasinya di Edinburgh, Birmingham, Leeds dan Sheffield.
Maknanya, pelaburan dalam penginapan mahasiswa bukanlah benda baharu bagi KWAP. Dah bertahun-tahun dibuat di luar negara.
Sekarang PMX mengumumkan Projek Vista Kampus menerusi Belanjawan 2027. KWAP dirancang melabur RM750 juta bagi membina kediaman siswa di enam universiti terpilih, termasuk UiTM dan UniSZA.
Hamzah Zainudin pula membangkitkan persoalan tentang pulangan pelaburan dan tanggungjawab KWAP menjaga dana persaraan. Itu soalan yang sah. Duit pencen bukannya boleh dilaburkan sesuka hati.
Cuma ada satu perkara menarik. Kalau kediaman pelajar di Edinburgh dan Birmingham boleh menjadi aset pelaburan KWAP, kenapa model pelaburan yang sama tidak boleh dikaji untuk mahasiswa di Malaysia?
Bezanya, kali ini selain potensi pulangan kepada KWAP, ada kemungkinan manfaat tambahan kepada mahasiswa tempatan yang memerlukan tempat tinggal. Tetapi semuanya bergantung kepada kos pembinaan, kadar sewaan, permintaan dan pulangan sebenar projek.
Jadi, tanyalah berapa pulangannya. Semaklah risikonya. Pastikan dana pencen selamat. Itu memang tanggungjawab semua pihak, termasuk kerajaan.
Yang penting, gunakan ukuran yang sama. Pelaburan di UK perlu dinilai berdasarkan pulangan dan risiko. Vista Kampus di Malaysia pun begitu juga.
Jangan kerana projek diumumkan oleh PMX, kita terlupa bahawa KWAP sendiri sudah lama mempunyai pengalaman melabur dalam kediaman pelajar.
Di UK kita tanya berapa untung. Di Malaysia pun tanyalah berapa untung.
Barulah perbahasan ekonomi nampak macam perbahasan ekonomi!

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.