Ridhuan Mohd Noor berkata kepada orang Pahang, kalau mahu “rasa hidup berkat”, tak ada pilihan selain bersama mengundi PAS.
PAS mahu orang undi PAS, itu perkara biasa. Semua parti mahu sokongan.
Yang perlu diperhatikan ialah apabila sokongan politik mula dikaitkan dengan perkara yang jauh lebih besar — cinta kepada Islam, kefahaman agama, malah keberkatan hidup.
Sebelum ini kita sudah dengar hujah bahawa orang yang faham dan cinta Islam akan menyokong PAS.
Sekarang muncul pula idea bahawa mahu hidup berkat, undilah PAS.
Ayat berbeza. Cara fikirnya hampir sama.
Ia membawa politik daripada persoalan “parti mana lebih baik?” kepada persoalan “siapa lebih dekat dengan agama?”
Di sinilah pandangan Yusuf al-Qaradawi menarik untuk dibaca.
Dalam Fiqh Daulah, Qaradawi membincangkan satu corak pemikiran yang beliau panggil al-Fikr al-Khariji.
Beliau tidak terus menuduh orang yang mempunyai semangat agama sebagai jahat. Malah beliau mengakui ada yang ikhlas dan berani.
Tetapi masalah bermula apabila pemikiran menjadi sempit, keras terhadap orang lain, cepat menolak, cepat menuduh, mudah bersangka buruk dan terlalu yakin dengan pandangan kelompok sendiri.
Perlu jelas. Bandingkan cara berfikir.
Daripada “kami percaya pendekatan kami lebih baik”, ia boleh bergerak kepada “kami sahaja berada bersama kebenaran”.
Kemudian selangkah lagi:
kalau kamu tidak bersama kami, kefahaman agama kamu dipersoalkan.
Kalau kamu tidak memilih kami, kecintaan kamu kepada Islam dipersoalkan.
Dan akhirnya, kalau kamu tidak mengundi kami, keberkatan hidup kamu pula seolah-olah dipersoalkan.
Qaradawi secara khusus mengkritik kelompok yang menjadikan kebenaran sentiasa bersama jemaah atau partinya sahaja.
Bagi beliau, parti tetaplah hasil ijtihad manusia.
Ia boleh mempunyai pandangan yang baik. Boleh juga tersilap.
Sebab itu dalam Kebangkitan Islam: Antara Penolakan & Ekstremisme, Qaradawi turut menegur sikap fanatik kepada pendapat sendiri sehingga tidak lagi mengiktiraf pandangan orang lain.
Beliau menggambarkan mentaliti itu dengan sangat tajam:
“Aku berhak bercakap, kamu wajib dengar. Aku berhak memimpin, kamu wajib ikut. Pendapatku betul tidak mungkin salah, pendapatmu salah tidak mungkin betul.”
Ini sebenarnya masalah besar apabila agama dibawa masuk terlalu jauh ke dalam kempen politik.
Parti tidak lagi perlu menjawab kelemahannya dengan prestasi.
Cukup dikatakan perjuangan kita Islam.
Calon tidak lagi dinilai berdasarkan kemampuan.
Cukup ditonjolkan imej agama.
Kemudian pengundi pula diberi gambaran bahawa sokongan kepada parti membawa pahala, cinta Islam atau keberkatan.
Sedangkan apabila Qaradawi bercakap tentang memilih calon, ukurannya sangat praktikal: qawiy dan amin.
Kuat dan amanah.
Mampu atau tidak.
Amanah atau tidak.
Tahu mentadbir atau tidak.
Boleh menjaga kepentingan rakyat atau tidak.
Itu perkara yang boleh dinilai.
Keberkatan pula bukan manifesto parti.
Ia milik Allah.
Sebab itu ada beza besar antara berkata:
“Semoga perjuangan yang baik ini diberkati Allah.”
dengan berkata:
“Nak hidup berkat, tak ada pilihan, undilah parti kami.”
Yang pertama ialah doa.
Yang kedua boleh memberi gambaran bahawa keberkatan Allah mempunyai saluran politik tertentu.
Di situlah kita kena berhati-hati.
Islam tidak memerlukan PAS untuk menjadi Islam.
PAS pula, seperti mana-mana parti lain, tetap organisasi manusia.
Boleh betul.
Boleh salah.
Boleh berjaya.
Boleh gagal.
Kalau benar mahu membawa politik Islam, biarlah Islam menjadi neraca untuk menilai parti.
Jangan sampai parti pula dijadikan neraca untuk menentukan siapa lebih faham Islam, siapa lebih cinta Islam dan siapa lebih layak mendapat keberkatan.
#ahmadmursi

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.